Terasa kecut perutnya. Zahirah tidak
dapat melelapkan mata walau sesaat dek kerana cara pemanduan abangnya yang
dirasakan sangat berbahaya. Di jalanraya yang mempunyai dua lorong dan hanya
dipisahkan oleh garisan pembahagi jalan. Sudah beberapa kali Zahirah menjerit
ketakutan. Kereta di hadapan dipotong tanpa ragu. Jika tidak boleh memotong di
bahagian kanan, abangnya akan memotong di bahagian kiri dan disebelahnya itu
terdapat sebatang sungai besar. Lori besar datang dari hadapan, langsung
abangnya tidak ambil peduli.
“Along ni dah kenapa? Drive slow
sikit tak boleh ke? Bukannya nak lari mana pun rumah kita tu!” Zahirah
meluahkan rasa geram dan takut.
Perjalanan itu dirasakan sungguh
panjang dan terasa amat sesak dadanya.
‘Ya Tuhan. Selamatkanlah perjalanan
kami ini,’ desis hati kecil Zahirah.
Zuuuuupppppp! Kereta Mercedes abangnya
memotong laju lori di hadapannya. Kereta dari arah bertentangan semakin
menghampiri. Dup dap dup dap.
“Along!” Zahirah menjerit lagi. Ketakutan.
Geram. Semuanya ada.
“Sabar sikit tak boleh ke along? Fikir
sikit nyawa tu. Tak fikir nyawa sendiri pun, fikir la nyawa orang lain sama!”
kali ini Zahirah benar-benar melepaskan amarahnya.
“Kau ingat kau sorang je fikir
nyawa? Aku pun fikir laa. Aku ramai lagi anak-anak kecik ni!” abangnya membalas
dengan nada amarah. Dua beradik sedang bertekak.
“Tau pulak kau fikir nyawa! Dah tu kalau kau
fikir pasal anak-anak kau, yang kau pergi hisap rokok tu kenapa?!”
Suasana dalam kereta menjadi sunyi
dan sepi. Tiada jawapan balas.
-----------------------------------------------
Secara peribadi, bagi saya kehidupan
itu berkaitan dengan pilihan. Setiap pilihan kita ada natijah yang tersendiri
sama ada baik atau buruk. Kerana itulah Allah mengurniakan kita akal supaya
kita dapat berfikir dengan waras dan membuat pilihan yang baik. Sememangnya kita
tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Oleh itu, lazimkanlah diri kita
dengan solat sunat istikharah dengan harapan Allah akan sentiasa memimpin kita
dalam setiap tindakan dan pilihan yang kita lakukan.
Setiap pilihan kita, haruslah
disertai dengan doa dan usaha yang betul. Choose the right one with the right
action. Seperti contoh dalam cerita ringkas di atas. Ianya sesuatu yang baik
sekali apabila si along mengatakan bahawa dia memilih untuk menjaga nyawa keluarganya. Tetapi tindakannya tidak seiring
dengan pilihan yang dilakukan. Dia memandu secara berbahaya. Malah dia juga
seorang perokok. Adakah dengan memandu secara berbahaya dan menghisap rokok itu
boleh dikatakan sebagai usaha untuk menjaga nyawa? Pilihan yang baik tetapi tindakannya
tidak releven. Seharusnya, jika benar-benar si along tersebut menyayangi nyawa
dirinya dan keluarganya, dia sewajarnya memandu dengan cara yang berhemah,
berhati-hati di jalan raya dan juga tidak menghisap rokok kerana secara
logiknya tindakan-tindakan tersebut mampu memberikan kesan negatif kepada dirinya
dan juga ahli keluarganya.
Si along boleh sahaja memilih untuk
memandu secara cermat dan tidak menghisap rokok dan ini secara logiknya tidak
akan memberikan kesan buruk terhadap dirinya dan keluarganya. Segalanya dengan
izin Allah. Kita sebagai manusia, hanya layak berusaha. Hanya Allah sahaja yang
berkuasa menentukan natijahnya sama ada baik atau buruk kerana sesungguhnya DIA
Maha Mengetahui segala apa yang terbaik untuk kita.
Sebagai contoh lagi, kita memilih
untuk berjaya dalam peperiksaan. Pilihan yang sangat baik. Tetapi perlulah
diiringi dengan usaha yang betul seperti melakukan study group, merujuk
pensyarah apabila mempunyai masalah tentang pelajaran dan mempunyai jadual
balejar yang tersendiri. Bukannya dengan cara berserah bulat-bulat padaNYA atau
meniru semasa peperiksaan. Kita ada pilihan untuk berusaha atau pun tidak. Kita
berjaya atau pun tidak, itu semua urusan Allah. Kadang-kadang kita sering
terlupa akan hakikat itu sehingga kita mempersoalkan ‘kenapa’ kepada Allah. Apabila
diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan, hati mudah berburuk sangka dengan
Allah, ‘aku dah belajar sunguh-sungguh. Tapi kenapa Allah tak bagi result yang
cemerlang pada aku?’
Persoalan ‘kenapa’ itu akan jadi
satu persoalan yang bagus sekiranya ianya untuk kita muhasabah diri dan
meningkatkan lagi usaha. Namun, ianya akan jadi satu persoalan yang negative bila
mana kita tidak dapat menerima segala ketetapan Allah atau dalam bahasa arabnya
ia disebut sebagai redha.
Pilihlah yang terbaik seandainya
kita punya peluang untuk memilih. Dan semoga setiap pilihan kita itu dipimpin
oleh Allah. Jom doa dan usaha!