Wednesday, 12 February 2014

yang kau pergi hisap rokok tu kenapa?


Terasa kecut perutnya. Zahirah tidak dapat melelapkan mata walau sesaat dek kerana cara pemanduan abangnya yang dirasakan sangat berbahaya. Di jalanraya yang mempunyai dua lorong dan hanya dipisahkan oleh garisan pembahagi jalan. Sudah beberapa kali Zahirah menjerit ketakutan. Kereta di hadapan dipotong tanpa ragu. Jika tidak boleh memotong di bahagian kanan, abangnya akan memotong di bahagian kiri dan disebelahnya itu terdapat sebatang sungai besar. Lori besar datang dari hadapan, langsung abangnya tidak ambil peduli.

“Along ni dah kenapa? Drive slow sikit tak boleh ke? Bukannya nak lari mana pun rumah kita tu!” Zahirah meluahkan rasa geram dan takut.

Perjalanan itu dirasakan sungguh panjang dan terasa amat sesak dadanya.

‘Ya Tuhan. Selamatkanlah perjalanan kami ini,’ desis hati kecil Zahirah.

Zuuuuupppppp! Kereta Mercedes abangnya memotong laju lori di hadapannya. Kereta dari arah bertentangan semakin menghampiri. Dup dap dup dap.

“Along!” Zahirah menjerit lagi. Ketakutan. Geram. Semuanya ada.

“Sabar sikit tak boleh ke along? Fikir sikit nyawa tu. Tak fikir nyawa sendiri pun, fikir la nyawa orang lain sama!” kali ini Zahirah benar-benar melepaskan amarahnya.

“Kau ingat kau sorang je fikir nyawa? Aku pun fikir laa. Aku ramai lagi anak-anak kecik ni!” abangnya membalas dengan nada amarah. Dua beradik sedang bertekak.

“Tau pulak kau fikir nyawa! Dah tu kalau kau fikir pasal anak-anak kau, yang kau pergi hisap rokok tu kenapa?!”

Suasana dalam kereta menjadi sunyi dan sepi. Tiada jawapan balas.

-----------------------------------------------



Secara peribadi, bagi saya kehidupan itu berkaitan dengan pilihan. Setiap pilihan kita ada natijah yang tersendiri sama ada baik atau buruk. Kerana itulah Allah mengurniakan kita akal supaya kita dapat berfikir dengan waras dan membuat pilihan yang baik. Sememangnya kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Oleh itu, lazimkanlah diri kita dengan solat sunat istikharah dengan harapan Allah akan sentiasa memimpin kita dalam setiap tindakan dan pilihan yang kita lakukan.

Setiap pilihan kita, haruslah disertai dengan doa dan usaha yang betul. Choose the right one with the right action. Seperti contoh dalam cerita ringkas di atas. Ianya sesuatu yang baik sekali apabila si along mengatakan bahawa dia memilih untuk menjaga nyawa  keluarganya. Tetapi tindakannya tidak seiring dengan pilihan yang dilakukan. Dia memandu secara berbahaya. Malah dia juga seorang perokok. Adakah dengan memandu secara berbahaya dan menghisap rokok itu boleh dikatakan sebagai usaha untuk menjaga nyawa? Pilihan yang baik tetapi tindakannya tidak releven. Seharusnya, jika benar-benar si along tersebut menyayangi nyawa dirinya dan keluarganya, dia sewajarnya memandu dengan cara yang berhemah, berhati-hati di jalan raya dan juga tidak menghisap rokok kerana secara logiknya tindakan-tindakan tersebut mampu memberikan kesan negatif kepada dirinya dan juga ahli keluarganya.

Si along boleh sahaja memilih untuk memandu secara cermat dan tidak menghisap rokok dan ini secara logiknya tidak akan memberikan kesan buruk terhadap dirinya dan keluarganya. Segalanya dengan izin Allah. Kita sebagai manusia, hanya layak berusaha. Hanya Allah sahaja yang berkuasa menentukan natijahnya sama ada baik atau buruk kerana sesungguhnya DIA Maha Mengetahui segala apa yang terbaik untuk kita.

Sebagai contoh lagi, kita memilih untuk berjaya dalam peperiksaan. Pilihan yang sangat baik. Tetapi perlulah diiringi dengan usaha yang betul seperti melakukan study group, merujuk pensyarah apabila mempunyai masalah tentang pelajaran dan mempunyai jadual balejar yang tersendiri. Bukannya dengan cara berserah bulat-bulat padaNYA atau meniru semasa peperiksaan. Kita ada pilihan untuk berusaha atau pun tidak. Kita berjaya atau pun tidak, itu semua urusan Allah. Kadang-kadang kita sering terlupa akan hakikat itu sehingga kita mempersoalkan ‘kenapa’ kepada Allah. Apabila diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan, hati mudah berburuk sangka dengan Allah, ‘aku dah belajar sunguh-sungguh. Tapi kenapa Allah tak bagi result yang cemerlang pada aku?’

Persoalan ‘kenapa’ itu akan jadi satu persoalan yang bagus sekiranya ianya untuk kita muhasabah diri dan meningkatkan lagi usaha. Namun, ianya akan jadi satu persoalan yang negative bila mana kita tidak dapat menerima segala ketetapan Allah atau dalam bahasa arabnya ia disebut sebagai redha.

Pilihlah yang terbaik seandainya kita punya peluang untuk memilih. Dan semoga setiap pilihan kita itu dipimpin oleh Allah. Jom doa dan usaha!

No comments:

Post a Comment