Aku merupakan sebuah kereta keluaran Malaysia yang
diberi nama Saga. Jadi, tentunya aku keluaran syarikat Proton Sdn. Bhd. Aku lahir
pada tahun 1995. Kini usiaku mencecah hampir 18 tahun.
Suatu ketika dahulu, aku dibeli dan digunakan
oleh seorang manusia yang bekerja sebagai ustazah. Orangnya sangat baik. Dia bijak
menggunakan aku. Sehinggalah tahun 2011, aku telah bertukar tuan.
Tuan baruku ini merupakan seorang pelajar di
sebuah universiti. Pada asalnya, dia membeliku untuk tujuan bisnes yang
dijalankan olehnya secara part-time. Aku digunakan ke sana ke sini termasuklah
ke kelasnya.
ini bukan diriku. ini kereta ferrari. tapi warna kami sama, merah.
Tuan baruku ini agak pemalas orangnya. Kebajikanku
jarang dijaga olehnya. Masihku ingat detik itu. Aku tidak pernah di cuci
olehnya sehinggalah suatu hari, diriku di’parking’ di suatu tempat di bawah pokok.
Burung-burung yang hinggap di pokok tersebut telah melepaskan hajatnya ke
atasku. Habis satu badanku dipenuhi dengan najis burung-burung tersebut. Disebabkan
najis burung yang terlalu banyak di atas badanku, tuanku berasa sangat malu. Lalu,
dia membawaku ke kedai cuci kereta. Setelah beberapa bulan menggunakan dirku,
itulah kali pertama aku dicuci.
Masihku ingat ketika aku mula sampai ditempat
belajarnya. Dia mengajak beberapa orang sahabatnya untuk pergi ke kelas dengan
menggunakan diriku. aku sangat gembira dengan kebaikan hati tuanku. Tetapi,
kegembiraan itu hanyalah untuk beberapa detik cuma bila mana tuanku berkata
pada sahabat-sahabatnya,
“Jom gi kelas dengan aku nanti. Duit minyak
nanti kita kongsi sama-sama”.
Aku jadi malu dengan tindakan tuanku ini. Dia ingin
melakukan kebaikan tapi dalam masa yang sama dia sangat berkira soal duit. Ya,
aku tahu, dia masih seorang pelajar dan tidak punya pendapatan tetap walaupan
dia melakukan kerja part-time. Tetapi, tidakkah dia tahu, alangkah baiknnya
jika dia berniat untuk menggunakan kereta tersebut kerana Allah tanpa berkira
walaupun satu sen? Tidakkah dia tahu bahawa segala rezekinya telah ditulis oleh
Allah sejak sebelum dirinya lahir ke dunia ini lagi? Jadi, untuk apa dia takut
duitnya akan habis? Apakah dia hanya mengerti makna rezeki itu hanya pada duit?
Lama-kelamaan, bisnes yang dilakukan olehnya
tidak begitu menjadi. Lantas dia mengambil keputusan untuk berhenti. Waktu itu,
dirinya sedar bahawa tindakannya suatu ketika dahulu sewaktu mengajak
sahabat-sahabatnya mengunakan aku itu adalah tidak benar. Jadi, dibulatkan
hatinya untuk mengajak sahabat-sahabatnya untuk menggunakan aku tanpa mengambil
satu sen pun. Dan dia sentiasa berdoa pada Allah agar dikurniakan hati yang
sentiasa ikhlas dalam melakukan apa jua kebaikan.
Disebabkan dirinya yang tidak begitu kisah
tentang bayaran duit minyak untukku, Allah tambahkan rezeki padanya. Ketika itu,
barulah dia mengerti bahawa jika ikhlas dalam melakukan sesuatu, Allah akan
tambahkan lagi rezeki untuk hamba-hambaNYA.
Namun, ikhlasnya itu tidak berpanjangan. Saat dirinya
ditimpa ujian kekurangan duit, dirinya mula untuk berubah menjadi tidak ikhlas.
Dia berasa berat andai ada sahabatnya meminta tolong dengannya untuk menghantar
ke sesuatu tempat. Dia berasa dirinya seolah-olah dipergunakan andai
sahabat-sahabatnya tidak menghulurkan duit minyak. Dia sedar bahawa dirinya
tidak ikhlas. Dia cuba untuk berubah. Namun, dia gagal. Gagal dalam menempuh
ujian kekurangan duit daripada Allah. Sekarang dirinya sedang diuji dengan
penyakit hati tersebut. Aku menjadi kasihan pada tuanku. Kadang kala dirinya
menangis disebabkan sikapnya yang tidak ikhlas dalam membantu
sahabat-sahabatnya. Aku juga turut
kasihan padanya andai amalnya untuk membantu sahabat-sahabatnya itu menjadi
sia-sia. Kudoakan moga tuanku diberi kekuatan untuk menempuh ujian kekurangan duit
dan menjadi manusia yang ikhlas dalam melakukan apa jua kebaikan.
Pesanku untuk
tuanku yang dikasihi,
“Aku tahu, dirimu sedang diuji dengan
kekurangan harta dan juga diuji dengan penyakit hati. Aku tahu, engkau sedih
dan berasa lemah dengan kedua-dua ujian tersebut. Namun, apakah engkau lupa
bahawa rezeki Allah itu bukan hanya pada duit semata-mata? Apakah engkau bimbang
duitmu akan habis? Tidakkah engkau khuatir andai segala amalmu tidak diterima
oleh Allah kerana tidak ikhlasnya hatimu dalam melakukan kebaikan? Apakah engaku
sanggup menanggung azab api neraka dek kerana itu? Tuanku, buatlah kebaikan
hanya kerana Allah. Nescaya, pasti datang pertolongan Allah yang lain. Dekatkanlah
dirimu dengan Allah. Bergantunglah padaNYA dengan sebenar-benar pergantungan. Mintalah
padaNYA agar diberi kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian. Sesungguhnya,
ujian dari Allah itu engkau mampu menanggungnya. Jika tidak, masakan Allah berikan
ujian itu pada dirimu? Salam sayang dariku, Saga.”
No comments:
Post a Comment