‘Ustaz, saya ada satu soalan. Apa pandangan Ustaz jika ada yang berpendapat bahawa pelajar yang bergiat aktif dalam bidang dakwah ini seringkali dikatakan selalu hantar assignment lambat, bila test ataupun kuiz, selalu dapat markah rendah. Bukankah golongan ini sendiri yang menjadi fitnah kepada dakwah itu?’
Terngiang-ngiang soalan itu di telinganya. Dia sendiri yang bertanya soalan itu. Namun, dia sendiri yang terasa akan pedasnya soalan itu.
“Haisshhh… Kenapa aku malas sangat ni? Final exam dah semakin dekat ni,” keluh Sumayyah sendirian sambil bangun daripada pembaringannya di atas katil empuk itu.
Buku di tangannya, di belek. Kemudian, dia baca. Kurang daripada satu muka surat, dia menutup kembali buku subjek Mikrobiologi itu.
“Ishhh… tak boleh jadi ni,” keluh Sumayyah lagi.
Lantas dicapai telefon bimbitnya di bahagian tepi bantalnya. Ditekannya nombor telefon insan yang dirinduinya. Insan itulah yang kerapkali memberinya semangat dan kekuatan. Hakikatnya, kekuatan itu adalah daripada Allah, namun insan itu hanyalah sebagai wasilah.
“Assalamualaikum, Sumayyah. Sumayyah sihat?” suara di hujung talian itu memulakan bicara.
“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Sumayyah sihat je ibu. Ibu sihat? Abah dan adik-adik macam mana?” soal Sumayyah kembali setelah menjawab soalan ibunya.
“Alhamdulillah. Semua sihat,” balas ibunya lembut.
“Ibu, rindunya kat ibu dan family kita. Ibu. Sumayyah tak tau kenapa. Sumayyah rasa macam malas sangat belajar. Baca buku pun bila ada mood je. Buat assignment pun selalu last minute,” luah Sumayyah melepaskan segala rasa di hati. Sedih dengan diri sendiri barangkali.
Perbualan mereka terhenti seketika. Hanya diam yang menemani untuk beberapa detik.
“Sayang. Kadang-kadang rasa malas itu adalah ujian dariNya. Kita kena usaha untuk lawan rasa malas tu. Cuba Sumayyah ingat balik, apa tujuan Sumayyah belajar selama ni? Untuk apa anak ibu bersusah payah belajar sejak dari zaman tadika lagi? Sayang, Imam Syafie' pernah berkata, kalau kita malas menuntut ilmu, kita akan menanggung peritnya kebodohan sepanjang masa. Semuanya bergantung pada diri Sumayyah. Ibu tak nak cakap banyak sebab ibu tahu, anak ibu dah besar. Dah boleh kahwin dah. Cuma satu pesan ibu, kalaulah Sumayyah rasa malas sangat nak belajar, cuba Sumayyah niatkan dihati, belajar itu kerana Allah dan nak tolong Islam,” panjang lebar bicara Puan Azizah. Lembut suaranya. Beliau selalu berdoa agar Sumayyah yang berada nun jauh dimatanya sentiasa dipelihara oleh Allah.
Diam lagi.
“Ibu…” serak suara halus itu.
“Ibu, kenapalah Sumayyah tak fikir macam tu selama ni. Ya, Sumayyah akan cuba untuk ikhlaskan hati, belajar kerana Allah dan nak tolong agama kita. Ibu, terima kasih atas nasihat ibu,” ucap Sumayyah sambil menitiskan mutiara jernih di pipinya.
‘Ya. Belajar untuk Islam. Belajar untuk tolong agama Allah. Aku harus kuat!’
Sumayyah senyum sendirian usai perbualan dengan ibunya. Senyumannya itu penuh dengan sejuta makna.
____TAMAT____
No comments:
Post a Comment