Monday 18 November 2013

Universiti Kehidupan


“Wajib ke atas kita sebagai hambaNYA untuk menempuh ujian yang melanda dalam hidup ini”. (Pesan sahabat)

Kadang-kadang hati kita merintih dek kerana tidak mampu lagi bertahan dengan ujian yang datang bertandang. Kadang-kadang terasa seperti mahu undur semula ke dunia ‘kanak-kanak ribena’ dek kerana tidak mahu memikirkan segala masalah yang melanda. Kadang-kadang hati kita tidak tegar lagi untuk memaksa diri untuk sentiasa tersenyum di hadapan manusia lain.

Tidak lupa juga, kadang-kadang kita terlupa bahawa Allah telah menyebut di dalam firmanNYA bahawa setiap ujian yang diturunkan ke atas hambaNYA adalah bersesuain dengan tahap kemampuan individu tersebut. Kita akan lupa tentang itu anda tiada DIA di hati kita.

Mungkin pernah terdetik dalam hidup kita,

“Kenapalah aku ni selalu sangat diuji dengan masalah yang sama je. Masalah kawan. Masalah duit”.
Pernah sekali aku terbaca kata-kata sahabat yang di’post’ di facebook, katanya,

‘Andai kita sering diuji dengan masalah yang sama, ketahuilah bahawa sebenarnya kita masih tidak lepas ujian tersebut.’

Sebagai contoh yang ringkas, kita sering diuji dengan masalah yang timbul dalam hubungan persahabatan. Itu tandanya kita masih belum melepasi ujian tersebut dan sebagai ‘signal’ untul kita lebih banyak bermuhasabah diri. Kadang mungkin kita terlintas dalam hati,

“bukan salah aku pun”,

“kenapa aku pula yang kena minta maaf. Padahal dia yang mula dulu”.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah dan dikasihi Nabi sekalian, apabila kita terlalu sibuk mencari salah orang lain, kita tidak akan ada masa untuk menghitung salah kita sedangkan kita tahu bahawa setiap daripada kita sememangnya tidak sempurna. Banyak kelemahan. Jadi, untuk apa kita menyibukkan diri untuk mencari kelemahan dan keaiban manusia lain?

Sebagai contoh ringkas yang lain, kita selalu kekurangan wang. Tidak mampu untuk memiliki apa yang dimiliki oleh insan lain. Mahukan hidup yang senang. Mahu makan yang sedap-sedap di tempat yang mahal sedangkan kita tidak mampu. Kadang-kadang sehingga terpaksa mengikat perut untuk berhari-hari lamanya hanya kerana mahu memiliki apa yang dihajatkan.

“Money is not everything but everything needs money”.

Aku sendiri tidak pasti sejauh mana kebenaran kata-kata ini. Mungkin sesuai diaplikasikan dalam keadaan tertentu sahaja.

Ketahuilah bahawa sebenarnya masalah itu boleh dan mampu jadi batu loncatan kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Cuma bergantung kepada diri kita untuk memilih mana yang terbaik. Perlu kita muhasabah diri tentang pengurusan kewangan yang kita amalkan selama ini. Mungkin kita terlalu boros sehingga tidak mampu menyimpan wang atau mungkin kita mampu menyimpan tetapi tidak bertahan lama.

Setiap ujian ada penyelesaiannya. Bagaimana kita melihat ujian yang singgah itu sangat penting. Kalau hanya sekadar berdoa namun tidak ada usaha untuk menyelesaikannya, mana mungkin ujian atau masalah tersebut dapat di’nyah’kan dari hidup kita. Satu perkara yang perlu kita tanam dan semat dalam hati kita sekukuhnya adalah bahawa, ‘Setiap apa yang Allah beri pada kita, bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada ‘sesuatu’ yang sedang menanti di hadapan. Allah tidak pernah sesakali menzalimi hambaNYA melainkan kita sendiri yang menzalimi diri. Selalulah kita bersangka baik dengan Allah.