Wednesday 23 January 2013

Puisi buatmu ya RASULULLAH


Alhamdulillah, segala puji hanya untukMu ya ALLAH.. selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW dan juga ahli keluarganya.. Allahumma solli 'ala muhammad.

coretan ini bersempena dengan Maulidurrasul pada esok hari,12 Rabiulawwal.. telah saya siapkan beberapa hari yang lalu dan cadangnya nak publishkan dalam blog pada esok hari.. namun, hati ini rasa melonjak-lonjak sangat untuk publishkan hari ni jugak. :) saya tahu, puisi ini tidaklah seberapa dan semestinya tidak cukup sebagai bukti kasih kepada Rasulullah.. :(  Allahurabbi...

Puisi buatmu ya RASULULLAH

Ya RASULULLAH,
Jika kau masih ada saat ini,
Ingin sekali aku menatap wajahmu,
Wajahmu yang sungguh indah bak bulan purnama,
Sinar wajahmu bak mentari di waktu siang.

Ya RASULULLAH,
Andai kau masih ada saat ini,
Ingin sekali aku berbicara denganmu,
Mendengar tutur bicaramu yang sarat dengan hikmah,
Suaramu yang kuyakin sungguh mendamaikan.

Ya RASULULLAH,
Hingga hujung hela nafasmu,
Ummati, ummati, ummati,
Tidak lekang dari bibirmu kalimah itu,
Sungguh engkau mencintai kami.

Namun ya RASULULLAH,
Andai kau masih ada saat ini,
Pasti hatimu bersedih dan berdukacita,
Menatap ummatmu yang semakin hari semakin jauh dari jalan kebenaran,
Menjengah ummatmu yang semakin hari semakin lalai dari mengingati ALLAH,
Meratap ummatmu yang semakin hari semakin lupa akan segala sunnahmu.

Ya HABIBALLAH,
Terlalu banyak dosa kami pada ALLAH,
Terlalu lalai hati kami dalam menghidupkan sunnahmu,
Terlalu alpa kami dengan dunia yang fana ini.

Ya HABIBALLAH,
Layakkah kami bersamamu di sana kelak,
Layakkah kami bersua muka denganmu di hari yang kekal abadi,
Layakkah kami mendapat syafaat darimu di kala tiada siapa pun yang mampu menghulurkan secebis pertolongan,

Ya RASULULLAH,
Moga kami mampu mendapat syafaat darimu kelak,
Moga kami layak menatap wajahmu yang indah,
Moga tiada kecewa darimu ya Rasulallah.

Ya ALLAH,
Berilah kami kekuatan ya ALLAH untuk menjadi hambaMU yang mencintai segala kebaikan yang ada di bumi ini. Jadikanlah kami sebagai ummat NABI MUHAMMAD yang sentiasa merindui akan pertemuan dengannya, mencintai segala sunnahnya.ALLAH…… layakkah kami bertemu dengan Baginda yang sungguh mulia..?

Allahumma solli 'ala muhammad


Monday 21 January 2013

Ibnu Sirin, peniaga dan pentafsir mimpi yang hebat


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, syukur di atas segala nikmat yang telah ALLAH kurniakan kepada diri ini. Selawat dan salam buat junjungan besar mulia, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya dan juga para sahabat, tabii dan tabiin.

Hari tu, saya dan mak ada tengok rancangan forum perdana kat TV1. Ada dua ahli panel. Sorang tu Ustaz Izhar dari UKM. Yang lagi sorang tu, saya tak ingat namanya..hee.. tapi, serius best forum tu. Tajuknya yang lengkap “mu nak gi mano?”.. mesti tertanya-tanya kan.. apa hal la tajuknya macam tu..hee.. sebenarnya, saya pun tertanya-tanya jugak, pasal apa sebenarnya tajuk ni. Bila dah dengar, oh…… pasal bisnes dalam Islam.hee..

Ada satu kisah yang telah diceritakan oleh seorang ahli panel dalam forum tu adalah kisah Ibnu Sirin. Siapa Ibnu Sirin ni.? Yang saya pernah dengar, beliau ini merupakan salah seorang yang hebat dalam bab tafsir mimpi. Ustaz tu cakap, Ibnu Sirin ni jugak merupakan seorang bisnesman yang hebat dan warak. Lalu, saya jadi sangat-sangat nak tahu kisah Ibnu sirin ni. Saya pun mulalah menjalankan misi saya untuk menulusuri kisah hidupnya. Jom, teruskan pembacaan.! Sila jangan bosan..hee..

~Ini adalah serba sedikit tentang Ibnu Sirin~

Ibnu Sirin atau nama sebenarnya Muhammad bin Sirin merupakan seorang anak kepada pasangan yang cukup warak iaitu Sirin (bapanya merupakan hamba kepada Anas bin Malik) dan Sofiah (ibunya merupakan hamba kepada saiyidina Abu Bakar as-Siddiq) . Beliau dilahirkan pada zaman pemerintahan sahabat iaitu ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan. Beliau sempat hidup dan menuntut ilmu daripada beberapa orang sahabat yang hebat seperti Zaid bin Thabit, Anas bin Malik, Umran bin al-Husoin, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin al-Zubair dan Abu Hurairah.

Ibnu Sirin merupakan seorang yang berani dalam menyampaikan kebenaran secara terbuka. Banyak kisah yang menarik tentang beliau akan hal ini. Salah satunya adalah kisah beliau bertemu dengan Gabenor kerajaan Bani Umayyah di Iraq iaitu Umar bin Hubairah.

Umar bin Hubairah bertanya kepada Ibnu Sirin, “Bagaimanakah keadaan penduduk bandar kamu ketika kamu meninggalkan mereka wahai Abu Bakar (nama panggilan kepada Ibnu Sirin)?”

Lalu Ibnu Sirin menjawab, “Aku meninggalkan mereka pada masa kezaliman berlaku secara berleluasa sedangkan kamu tidak menghiraukannya.” Lantas anak saudara beliau menyinggung beliau dengan menggunakan bahunya. Selepas itu beliau menoleh kepada anak saudaranya dengan berkata, “Bukan kamu yang ditanya tetapi aku yang ditanya. Perkara tersebut adalah merupakan suatu penyaksian dan sesiapa yang menyembunyikannya dia akan berdosa.”


Setelah itu Ibnu Hubairah menghulurkan sesuatu pemberian kepada beliau tetapi beliau menolak. Kemudian anak saudara beliau menegur tindakan beliau dengan berkata, “Kenapa kamu tidak mahu menerima pemberian daripada gabenor?”

Beliau menjawab, “Dia memberikan kepada aku kerana dia menganggap aku seorang yang baik, jadi sekiranya aku memang tergolong dari kalangan orang yang baik, tidak sepatutnya aku menerima pemberian tersebut tetapi jika sebaliknya, lebih baik lagi aku tidak menerimanya.”

Kisah yang telah diceritakan oleh ahli panel dalam forum perdana tersebut adalah tentang kejujuran Ibnu Sirin dalam menjalankan bisnes. Beliau menolak ke tepi keuntungan dunia demi keuntungan akhirat. Pernah berlaku pada suatu ketika beliau membeli minyak dengan harga 40,000 dirham dengan pembayaran yang akan dijelaskan kemudiannya. Apabila beliau membuka salah satu bekas yang berisi minyak, tiba-tiba beliau dapati di dalam bekas tersebut terdapat seekor tikus yang mati dan telah reput. Kemudian beliau terlintas di dalam hati dengan mengatakan, “Minyak ini semuanya dihasilkan dari satu pemerah serta dikumpulkan di satu tempat dan najis ini bukan hanya melibatkan minyak yang berada di dalam bekas ini sahaja. Sekiranya aku mengembalikan minyak yang mempunyai keaiban ini kepada penjual, kemungkinan dia akan menjualnya semula kepada orang lain.” Lalu dia menuangkan kesemua minyak tersebut dan menyebabkan beliau mengalami kerugian yang sangat besar dan tidak dapat membayar hutang tersebut. Lalu beliau dipenjarakan  selepas pemberi hutang itu mengadu pada pemerintah. Anas bin Malik sewaktu di akhir-akhir hayatnya telah menyatakan bahawa beliau mahu jenazahnya nanti diuruskan oleh Ibnu Sirin walaupun beliau di dalam penjara. Atas kebenaran dari pemberi hutang tersebut, Ibnu Sirin dibenarkan untuk keluar seketika bagi menguruskan jenazah Anas bin Malik.

Muhammad bin Sirin hidup hingga umurnya mencecah 77 tahun. Ketika ajalnya tiba, harta yang dimilikinya tidaklah seberapa dan amat sedikit. Namun bekalannya melimpah ruah untuk kehidupan selepas mati.

Hebat kan Ibnu Sirin ni..? moga-moga, kisah hidup Ibnu Sirin ini, dapat kita jadikan sebagai panduan dan pengajaran dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini. Sekian saja dari saya. Salah silap harap dimaafkan. Wassalam.

Sunday 20 January 2013

akhirnya kutemui :)


Bismillahirrahmanirrahim. Rabbi yassir wala tu'assir.
--------------------------------------------

“Adik, jom kita balik kampung,” kakak bersuara perlahan sementelah aku menjawab panggilan telefon darinya.

“Hahhh..?? kenapa kak?” soal aku yang agak kebingungan. Ada sesuatu yang terjadi pada Husna kah?  Beberapa hari lalu, Husna iaitu anak saudaraku telah dimasukkan ke hospital disebabkan masalah pernafasan.

“Ayah dah tak ada,” jawab kakakku pendek.

“hahhh..??” aku terkejut.

Tuut..tuutt..tuutt.. Talian terus terputus. Seperti dalam drama yang pernah kutonton sebelum ini. Duniaku seakan-akan berputar saat itu. Tiada apa yang mampu aku fikir detik itu. Tiada air mata yang mampu mengalir dari tubir mataku waktu itu. Lantas aku memeluk sahabat di sebelahku. Ya ALLAH. Seakanku tidak percaya. Aku baru sahaja menghubungi dan bercakap dengan ayah.

Perjalanan kali itu singkat tapi kurasakan begitu lama. Kakak tidak henti-henti menangis. Aku pula, sekejap menangis, sekejap ok. Bertalu-talu mesej dari sahabat-sahabat yang aku terima. Semuanya ucapan takziah dari mereka. Abang iparku terus memandu dengan tenang. Akhirnya, perjalanan selama lima jam itu berakhir. Kami selamat tiba di kampung halaman.

Kulihat begitu ramai orang  yang hadir. Kalau dulu di sekolah, selalu diadakan slot “muhasabah diri”. Di mana dalam slot itu, selalu disuruh untuk membayangkan saat kita pergi menuntut ilmu, kita mendapat panggilan untuk pulang ke rumah dan saat tiba di rumah, kita lihat sekujur badan yang kaku sedang berada di pembaringan. Ya..! itu yang sedang terjadi pada diriku saat itu. Tidak pernah aku bermimpi untuk mengalami seperti apa yang selalu dilakukan dalam slot muhasabah diri.

Aku mengatur langkah perlahan masuk ke dalam rumah. Aku cari emak. Aku lihat sekujur tubuh yang kaku berada di atas katil. Aku buka perlahan kain yang menutup wajah itu. Tenang sekali wajahnya. Lantas kukucup dahinya yang sejuk itu. Ayah… ya ALLAH.. kuatkan aku ya ALLAH. Adakah aku berpijak di bumi yang nyata detik ini? Atau aku hanya sekadar bermimpi? Tidak dapat kutahan deraian air mata saat itu. Segala perbualanku dengan ayah beberpa hari lepas masih terngiang-ngiang di telingaku.

-----------------------------------------------------------

Kini, hampir sembilan bulan ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Aku seperti biasa, meneruskan kehidupanku sebagi seorang pelajar universiti yang semakin kuat mencari tujuan hidup di bumi ALLAH ini tapi masih dalam keadaan yang terkapai-kapai. Untuk apa aku hidup selama ini? Apa sumbanganku terhadap ISLAM? Sejauh mana kecintaanku kepada ALLAH, Pencipta seluruh alam semesta ini. Sedalam mana kerinduanku pada Rasulullah? Semua itu selalu berlegar-legar di mindaku setelah pemergian ayah menghadap ILLAHI. Aku sedih dengan kehilangan ayah kerana aku juga manusia biasa tapi jauh di sudut hatiku, tersemat sejuta rasa syukur yang amat sangat pada ALLAH yang Maha Agung. Sungguh, ujian yang ALLAH kurniakan kepada diriku ini menjadi titik tolak kepada perubahan diriku. Pemergian ayah juga menjadi wasilah kepada diriku untuk mengubah caraku berfikir selama ini.

Kalau dulu, aku hanya fikir hidup ini sekadar hidup. Namun, kini aku sedar kita hidup ini adalah untuk mencari keredhaan ALLAH, perlu berjuang untuk agama ALLAH. Bagiku, sangatlah rugi jika kita hanya inginkan kehidupan yang biasa-biasa. Bak kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, “tidak ada had umur dalam gerakan perjuangan ISLAM kerana penamatnya ialah MATI”.

Sungguh, kini aku bahagia. Bahagia dengan apa yang ALLAH kurniakan pada diriku. Bahagia dengan ujian yang ALLAH kurniakan kepada diriku. Hidupku kini, dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang cinta akan ALLAH, kasih akan Rasulullah, sayang pada ISLAM. Sewajarnya, aku menggunakan sebaik-baiknya apa yang telah ALLAH kurniakan kepada diriku. Tak semua orang mendapat seperti apa yang aku dapat hari ini. Dulu, hidupku terkapai-kapai mencari jambatan untukku lalui dan untuk kugunakan sampai ke seberang sana. Dulu, hidupku terumbang ambing dek sikapku yang terlalu cintakan dunia. Dulu, aku resah gelisah memikirkan tiada siapa yang sudi membantuku untuk pulang ke pangkuanNYA. Kini, aku punya apa yang telah aku cari sebelum ini. Ya ALLAH, tiada kata yang mampu aku ukirkan dibibirku dan dihatiku melainkan kalimah ALHAMDULILLAH. Segala puji hanya untukMU ya ALLAH, Tuhan semesta alam.

Sungguh, dalam aku melangkah untuk mengubah diriku sendiri, tiada hamparan permaidani baldu untukku. Tiada bentangan karpet merah. Tiada keindahan yang kurasa seperti indahnya The Iguazu Waterfalls, persempadanan antara Argentina dan Brazil. Adakalanya aku lemah. Lemah sangat. Lalu, aku tersungkur. Aku gagahkan diri untuk bangkit dari rasa lemah itu. Aku kuatkan hati untuk mencari cahaya. Aku pautkan pergantunganku sepenuhnya pada PENCIPTA diriku dan seluruh alam ini. Akhirnya, aku temui kekuatan itu semula. Bagiku, jatuh bangun dalam kehidupan ini adalah lumrah. Semuanya atas diri kita. Andai kita tidak kuat, kita akan hanyut. Sesungguhnya, aturan ALLAH itu sangat indah. Indah yang teramat. Kita hanya akan dapat merasai keindahan dan kemanisan ujian itu andai kita benar-benar menjadi hambaNYA yang berfikir.

Ya ALLAH, sesungguhnya aku redha ALHAMDULILLAH atas segala apa yang Engkau kurniakan pada diriku. Pintaku hanya satu, janganlah Engkau pesongkan hati ini sesudah Engkau beri hidayah kepadaku. Tetapkanlah hatiku di atas agamaMU. Jadikanlah aku sebagai hambaMU yang mencintai dan mengejar segala kebaikan yang ada di bumi ini. Ya ALLAH. Segala puji hanya untukMu. Akhirnya kutemui. :)

~bukan aku meratap atas pemergian ayahku walaupun aku selalu ulang kisah yang sama. Cuma kurasakan syukur yang teramat sangat sehingga tak mampu untukku luahkan dengan kata-kata. :) terima kasih ya ALLAH. :)

Tuesday 15 January 2013

selamat hari lahir..!!! ^_^


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH di atas segala nikmat yang ALLAH kurniakan pada diri ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga ahli keluarganya.

Alhamdulillah, syukur sangat2.. saya dah habis final exam untuk sem 5 sesi 2012/2013. Hee. Segala natijahnya, saya serahkan pada ALLAH yang Maha Berkuasa atas segalanya sebab DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri saya.. ^_^

Hari tu, masa dalam tempoh exam, ada birthday seorang sahabat saya iaitu pada 7hb januari 2013. Namanya RUS FARAH IZZATY BINTI RUSLAN.. sedap kan namanya..? hehe. Entri ini saya tujukan khas untuk beliau yang saya selalu panggil dengan nama “Rus”.

                                         -----------------------------------------------------

Buat sahabat yang disayangi dan dikasihi hanya kerana ALLAH.

Pertama dan selamanya, syukur ke hadrat Illahi sebab syidah diberi peluang untuk mencoret sesuatu di blog yang tak seberapa ini. Tercapai jugak hasrat syidah untuk buat satu entri pasal Rus walaupun ianya mungkin tidak seberapa di mata Rus. =) Sekali lagi syidah nak ucapkan SELAMAT HARI LAHIR YANG KE 22 pada Rus walaupun hari tu syidah dah ucap. Sehari pulak tu lambat.hee.. bukan syidah tak ingat atau lupa tapi saja je syidah buat macam tu.hee.. Rus, rus sedih ke syidah tak wish on that day..? hee. sorry taw. Sory sangat. Tapi syidah bukan tak ingat taw..hehe.


ni kek untuk rus..hehe.. buat tatapan pancaindera matamu.hee..

Di hari lahir Rus, syidah tak ada apa yang syidah mampu bagi pada Rus melainkan hanya ucapan TERIMA KASIH yang tak terhingga pada Rus untuk segala yang telah Rus berikan pada syidah selama kita bersahabat. (kenapa syidah menangis ni..? huhu) . Rus selalu berkorban untuk syidah. Korban perasaan, korban duit, korban waktu dan macam-macam lagi lah. Rus banyak bersabar dengan syidah yang terlalu banyak kerenah dan tak semua orang boleh sabar dengan syidah. Hee.

Rus yang syidah sayang hanya kerana ALLAH,

Ketahuilah , syidah sayang sangat pada Rus walaupun mungkin nilainya tak sama seperti mana Rus sayang syidah. Syidah selalu cuba untuk jadi lebih baik tapi kadang-kadang syidah tak kuat. Alhamdulillah, ALLAH kurniakan pada syidah sahabat-sahabat yang saling memberi kekuatan antara satu sama lain. Syidah simpan lagi mesej yang Rus bagi masa syidah tengah sedih dan stress hari tu. Tapi syidah dah tak ingat syidah sedih dan stress pasal apa. Hehe.

“At times when I feel lonely, no one to keep me calmly. You were there. At times when I feel so troble, no one for me to turn to You. You were there. You always there. Sesungguhnya ALLAH berada lebih dekat dengan hambaNYA lebih daripada dekatnya urat nadi kita sendiri. Terkadang ujian ditimpakan kepada kita kerana ALLAH rindukan rintihan kita kepadaNYA. Moga syidah beroleh kekuatan dalam setiap ujian yang dating bertamu. Moga ALLAH bersamamu setiap detik dan waktu. Syidah kuat dan Rus tau syidah boleh buat!”

Rus..Rus ingat lagi tak macam mana Rus pujuk syidah untuk mohon zakat tu..? haha.. kalau ingat balik, syidah rasa macam kelakar je. Hehe. Daripada syidah tak nak, sekejap nak, sekejap tak nak, terus nak. Lepas tu, rus la yang bersusah payah pegi mintak sign En.Asri untuk borang syidah tu..hee.. tapi tak tau lagi kita dapat ke tak kan.. harap-harap dapat. Ameen3x.. =)

Itu sahaja dari syidah untuk Rus. Maafkan syidah andai syidah gagal menunaikan hak Rus sebagai seorang sahabat. Tapi syidah rasa macam banyak sangat hak rus yang syidah tak buat.huu.. doakan syidah ea, moga syidah diberi kekuaatan untuk terus berubah kea rah yang lebih baik. Akhir kalam, syidah sayang Rus sangat. <3

--------------------------------------------



Buat sahabat-sahabat saya yang mungkin membaca entri ini, please…please..please.. jangan kecik hati ye..hee.. yang pastinya saya sayang semua sahabat saya. Maafkan saya jugak andai saya gagal menunaikan hak-hak kalian sebagi sahabat.Moga ukhwah kekal hingga ke syurga. Ameen3.. bila dah nak start cuti ni, saya jugak akan start merindui kalian.. ^_^ jaga diri.. wassalam.