Sunday 20 January 2013

akhirnya kutemui :)


Bismillahirrahmanirrahim. Rabbi yassir wala tu'assir.
--------------------------------------------

“Adik, jom kita balik kampung,” kakak bersuara perlahan sementelah aku menjawab panggilan telefon darinya.

“Hahhh..?? kenapa kak?” soal aku yang agak kebingungan. Ada sesuatu yang terjadi pada Husna kah?  Beberapa hari lalu, Husna iaitu anak saudaraku telah dimasukkan ke hospital disebabkan masalah pernafasan.

“Ayah dah tak ada,” jawab kakakku pendek.

“hahhh..??” aku terkejut.

Tuut..tuutt..tuutt.. Talian terus terputus. Seperti dalam drama yang pernah kutonton sebelum ini. Duniaku seakan-akan berputar saat itu. Tiada apa yang mampu aku fikir detik itu. Tiada air mata yang mampu mengalir dari tubir mataku waktu itu. Lantas aku memeluk sahabat di sebelahku. Ya ALLAH. Seakanku tidak percaya. Aku baru sahaja menghubungi dan bercakap dengan ayah.

Perjalanan kali itu singkat tapi kurasakan begitu lama. Kakak tidak henti-henti menangis. Aku pula, sekejap menangis, sekejap ok. Bertalu-talu mesej dari sahabat-sahabat yang aku terima. Semuanya ucapan takziah dari mereka. Abang iparku terus memandu dengan tenang. Akhirnya, perjalanan selama lima jam itu berakhir. Kami selamat tiba di kampung halaman.

Kulihat begitu ramai orang  yang hadir. Kalau dulu di sekolah, selalu diadakan slot “muhasabah diri”. Di mana dalam slot itu, selalu disuruh untuk membayangkan saat kita pergi menuntut ilmu, kita mendapat panggilan untuk pulang ke rumah dan saat tiba di rumah, kita lihat sekujur badan yang kaku sedang berada di pembaringan. Ya..! itu yang sedang terjadi pada diriku saat itu. Tidak pernah aku bermimpi untuk mengalami seperti apa yang selalu dilakukan dalam slot muhasabah diri.

Aku mengatur langkah perlahan masuk ke dalam rumah. Aku cari emak. Aku lihat sekujur tubuh yang kaku berada di atas katil. Aku buka perlahan kain yang menutup wajah itu. Tenang sekali wajahnya. Lantas kukucup dahinya yang sejuk itu. Ayah… ya ALLAH.. kuatkan aku ya ALLAH. Adakah aku berpijak di bumi yang nyata detik ini? Atau aku hanya sekadar bermimpi? Tidak dapat kutahan deraian air mata saat itu. Segala perbualanku dengan ayah beberpa hari lepas masih terngiang-ngiang di telingaku.

-----------------------------------------------------------

Kini, hampir sembilan bulan ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Aku seperti biasa, meneruskan kehidupanku sebagi seorang pelajar universiti yang semakin kuat mencari tujuan hidup di bumi ALLAH ini tapi masih dalam keadaan yang terkapai-kapai. Untuk apa aku hidup selama ini? Apa sumbanganku terhadap ISLAM? Sejauh mana kecintaanku kepada ALLAH, Pencipta seluruh alam semesta ini. Sedalam mana kerinduanku pada Rasulullah? Semua itu selalu berlegar-legar di mindaku setelah pemergian ayah menghadap ILLAHI. Aku sedih dengan kehilangan ayah kerana aku juga manusia biasa tapi jauh di sudut hatiku, tersemat sejuta rasa syukur yang amat sangat pada ALLAH yang Maha Agung. Sungguh, ujian yang ALLAH kurniakan kepada diriku ini menjadi titik tolak kepada perubahan diriku. Pemergian ayah juga menjadi wasilah kepada diriku untuk mengubah caraku berfikir selama ini.

Kalau dulu, aku hanya fikir hidup ini sekadar hidup. Namun, kini aku sedar kita hidup ini adalah untuk mencari keredhaan ALLAH, perlu berjuang untuk agama ALLAH. Bagiku, sangatlah rugi jika kita hanya inginkan kehidupan yang biasa-biasa. Bak kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, “tidak ada had umur dalam gerakan perjuangan ISLAM kerana penamatnya ialah MATI”.

Sungguh, kini aku bahagia. Bahagia dengan apa yang ALLAH kurniakan pada diriku. Bahagia dengan ujian yang ALLAH kurniakan kepada diriku. Hidupku kini, dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang cinta akan ALLAH, kasih akan Rasulullah, sayang pada ISLAM. Sewajarnya, aku menggunakan sebaik-baiknya apa yang telah ALLAH kurniakan kepada diriku. Tak semua orang mendapat seperti apa yang aku dapat hari ini. Dulu, hidupku terkapai-kapai mencari jambatan untukku lalui dan untuk kugunakan sampai ke seberang sana. Dulu, hidupku terumbang ambing dek sikapku yang terlalu cintakan dunia. Dulu, aku resah gelisah memikirkan tiada siapa yang sudi membantuku untuk pulang ke pangkuanNYA. Kini, aku punya apa yang telah aku cari sebelum ini. Ya ALLAH, tiada kata yang mampu aku ukirkan dibibirku dan dihatiku melainkan kalimah ALHAMDULILLAH. Segala puji hanya untukMU ya ALLAH, Tuhan semesta alam.

Sungguh, dalam aku melangkah untuk mengubah diriku sendiri, tiada hamparan permaidani baldu untukku. Tiada bentangan karpet merah. Tiada keindahan yang kurasa seperti indahnya The Iguazu Waterfalls, persempadanan antara Argentina dan Brazil. Adakalanya aku lemah. Lemah sangat. Lalu, aku tersungkur. Aku gagahkan diri untuk bangkit dari rasa lemah itu. Aku kuatkan hati untuk mencari cahaya. Aku pautkan pergantunganku sepenuhnya pada PENCIPTA diriku dan seluruh alam ini. Akhirnya, aku temui kekuatan itu semula. Bagiku, jatuh bangun dalam kehidupan ini adalah lumrah. Semuanya atas diri kita. Andai kita tidak kuat, kita akan hanyut. Sesungguhnya, aturan ALLAH itu sangat indah. Indah yang teramat. Kita hanya akan dapat merasai keindahan dan kemanisan ujian itu andai kita benar-benar menjadi hambaNYA yang berfikir.

Ya ALLAH, sesungguhnya aku redha ALHAMDULILLAH atas segala apa yang Engkau kurniakan pada diriku. Pintaku hanya satu, janganlah Engkau pesongkan hati ini sesudah Engkau beri hidayah kepadaku. Tetapkanlah hatiku di atas agamaMU. Jadikanlah aku sebagai hambaMU yang mencintai dan mengejar segala kebaikan yang ada di bumi ini. Ya ALLAH. Segala puji hanya untukMu. Akhirnya kutemui. :)

~bukan aku meratap atas pemergian ayahku walaupun aku selalu ulang kisah yang sama. Cuma kurasakan syukur yang teramat sangat sehingga tak mampu untukku luahkan dengan kata-kata. :) terima kasih ya ALLAH. :)

2 comments:

  1. Salam Mahabbah.

    Subhanallah, syida syg. Post yg amat amat amat menyentuh hati. DEKAT. MEMANG DEKAT sangat rasanya, seems Rus pun pernah lalui pengalaman yang sama, pernah rasa apa yg syida rasa. Kalau dulu, ape2 yg brkaitan dgn arwah, terus rase sebak. Baca yaasin pn bley jd touching. Bab air mata toksah ckp la, mmg da jd pendamping setia bila keseorgan.

    Dan setiap kali tu, buat rus terpikir, semua ujian yg Allah turunkan ni, memang SANGAT BERAT. siapa yg nak rasa kehilangan insan yg tersayang,insan yg kita bergantung hidup padanya sejak kecil, insan yg takkan lahir kita ni ke dunia tanpanya, kan? TAPI, disebalik semua tu, lihatlah hikmah yg Allah sediakan buat kita. Sgt patut kita rasa istimewa, sbb cuma orang-orang yg Allah sayang, yg Allah pilih siap-siap utk beri perhatian pd kita, sementara ramai lg yg dipilih utk dilalaikanNya. Allah juga turunkan ujian utk kita sbb nk test iman kita, mcm ayat ni:

    Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
    (Al-Ankabut: 2-3)

    Kehilangan insan yg paling dekat dgn rus, buat rus sedar akn hakikat sebuah kematian. Hakikat yg ajal akn dtg seperti yg Allah da ttapkan, x akn tercepat @ terlambat walau sesaat pun. Tak kira umur, tua @ muda. Tak kira keadaan, sehat @ sakit. Moga Allah jadikan kite semua ni, org2 yg slalu ingatkn mati. Slalu bersedia utk brtemuNya. Slalu mendoakan utk pengakhiran yg baik. Slalu cuba utk tingkatkn amal sbg bekalan di negeri akhirat nnti. Sebabnya, MATI ITU PASTI & SEBIJAK-BIJAK MANUSIA ITU IALAH ORANG YANG PALING BANYAK MENGINGATI MATI.

    Syida syg, ape yg rus tulis ni, utk peringatan rus & kita semua bersama. Andai ade salah & silap, sama2 kita tegur, peringatkan, & betulkan ye. Barulah indah sebuah ukhuwah itu, bila lillahi ta’ala menjadi tunjangnya. Moga Allah redha akan nikmat-nikmat yg dipinjamkan kpd kita selama ni, termasuk nikmat persahabatan kita ni. Amiin. :)

    ReplyDelete
  2. rus....... kalau lah ada button 'like', syidah da like da komen rus nie.. sbb syidah rasa mcm tak tau nak cakap apa.. peringatan yg syidah rasakan sangat bermakana bg syidah.. Allah.. teringat semalam, diana amair cakap, nak ubah luaran, mungkin senanag, tapi nak ubah dalaman diri kita, akahlak kita, memang memerlukan mujahadah yg sangat kuat,,huu.. tp...kdg2 syidah x kuat..huu.. :'(

    ReplyDelete