Wednesday 12 June 2013

Di mana DIA di hatiku?


Kereta buatan Malaysia itu meluncur laju keluar dari persimpangan Nilai Utara. Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 6.15 petang. Lebuhraya PLUS menghala ke utara masih lancar perjalanannya. Cuma lebuhraya menghala ke selatan sahaja agak perlahan. Mungkin ada kemalangan di hadapan sana.

“Afif. Kenyang tak makan tadi?” soal Sumayyah kepada adik bongsunya itu.

“Kenyang je. Sedap la makanan kat restoran tu. Lain kali boleh kakak bawa Afif makan kat situ lagi,” gurau Afif sambil memandang kakaknya yang sedang memandu.

“Insya-Allah, boleh je. Tapi Afif kena la datang sini selalu,” balas Sumayyah sambil memandang cermin sisi keretanya.

“Alaaa.. tak datang sini selalu pun tak apa. Kakak belajar la masak. Nanti boleh masak kat rumah kalau kakak balik kampung,” sengih Afif.

Kereta itu semakin meluncur laju di lorong tengah jalan raya. Mungkin hamper 20 minit lagi mereka akan sampai ke destinasi yang dituju.

Tiba-tiba……

“Ehh… Benda apa tu kat tengah jalan?” soal Sumayyah terkejut sambil cuba mengelak daripada melanggar ‘benda’ yang dimaksudkan itu. Namun, gagal. Keretanya tetap melanggar ‘benda’ itu.

“Afif rasa macam bata. Warna orange. Bunyi langgar pun macam kuat je,” Afif menjawab.

Sumayyah meneruskan pemanduannya. Semakin lama semakin terasa berat stereng keretanya.

‘Ehh. Kenapa rasa lain je ni kereta ni,’ gumamnya dalam hati. Lantas, dia menukar keretanya ke lorong kiri lebuhraya.

“Afif. Kakak rasa macam tayar pancit je sebab rasa macam lain je stereng ni. Berat,” ucap Sumayyah stelah berdiam diri untuk beberapa ketika.

“Kalau macam tu, kakak berhenti je lah kat tepi jalan ni. Tak pun, berhenti je terus kat R&R tu,” cadabg Afif sambil menunjukkan R&R Nilai yang semakin dekat dengan mereka.

Kereta Proton Wira itu semakin perlahan menyusur ke bahagian tepi jalan raya melepasi kawasan R&R Nilai. Lalu, lampu kecemasan terus dipasang.

Hanya sepi yang menemani pasangan adik beradik itu.

‘Nak buat macam mana ni,’ si kakak bermonolog di dalam hati. Dikeluarkannya telefon bimbitnya.
Lantas, dia mendaftar masuk ke akaun facebooknya.

Kadang-kadang kita tak sedar, disebabkan sikap pentingkan diri atau kecuaian kita, orang lain telah teraniaya. Tayar keretaku pancit. Huhu. Sedih”. Lalu, ditekan butang ‘post’ selepas menaip status terbarunya. Status itu kelihatannya kecewa dengan insiden pelanggaran bata tadi. Sejurus selepas itu, dia menghubungi abahnya.

“Assalamualaikum , abah. Abah, tayar kereta kakak pancit la. Macam mana ya?” soal Sumayyah setelah panggilannya dijawab oleh abah.

“Laa.. ye ke. Kakak kat mana ni?” soalan Sumayyah dibalas dengan soalan juga.

“Kakak berhenti kat tepi highway ni. Lepas sikit dari R&R Nilai. Abah boleh datang tak?” sebak suaranya.

“Abah tak dapat pergi la sayang. Abah ada hal ni. Ok, macam ni. Nanti abah cari nombor PLUS dulu. Lepas tu, kakak cuba call ya,” jawapan diberi kepada soalan anak daranya itu. Suara itu kedengarnnya risau. Mana mungkin Encik Muhammad tidak risau. Sekarang sudah hampir senja tetapi anak-anaknya masih di tepi jalan tanpa arah tuju.

“Ok. Terima kasih abah. Nanti kakak call,” jawab Sumayyah perlahan.

“Macam mana kakak. Kita nak buat apa ni?” Afif bersuara setelah berdiam diri untuk beberapa ketika.

“Abah ada bagi nombor telefon PLUS. Abah suruh call sebab abah ada hal. Tak dapat datang,” jawab Sumayyah sambil menghubungi PLUS setelah abahnya menghantar nombor telefon tersebut melalu SMS.

“Ishhh. Lamanya iklan. Boleh ke tak ni PLUS ni? Time emergency pun sempat lagi nak beriklan lama-lama,” Sumayyah membebel. Tertekan mungkin. Ditambah pulak dengan rasa letih yang bertandang.

Setelah dicuba beberapa kali, barulah Sumayyah dapat bercakap dengan pekerja PLUS yang sedang bertugas ketika itu. Setelah memberitahu lokasi, nombor plat kereta dan masalah yang dihadapi, Sumayyah bersandar di tempat duduk keretanya itu. Menghela nafas panjang.

Lama juga mereka menunggu. Sehingga hampir masuk waktu Maghrib, datang sebuah kereta Toyota Vios putih, berhenti di belakang kereta mereka. Keluar seorang lelaki.

“Tayar pancit ke dik?” tanya pemuda yang berumur linkungan 30-an itu.

“Ya, tayar pancit,” ringkas jawapan Sumayyah.

“Ada tayar spare? Saya boleh tolong tukarkan,” pemuda itu menawarkan pertolongan.

Kaku tubuh Sumayyah berdiri di tepi keretanya. Tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Jangan risau. Saya memang nak tolong. Adik boleh ambik i/c saya,” ucap pemuda itu sambil mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Dihulurnya kad pengenalan miliknya kepada Sumayyah.

Diam. Sumayyah diam lagi untuk beberapa saat. Kemudian, dia kembali bersuara, “Ada. Saya ada tayar spare. Sekejap ye.”

Dibukanya boot kereta Proton Wira hijau itu.

“Dah masuk maghrib ni. Kalau adik nak solat dulu, boleh lah. Solat kat surau R&R tu,” pemuda itu menuding jarinya ke arah R&R Nilai.

“Ok,” ringkas lagi jawapan Sumayyah. Ditangan kirinya ada kad pengenalan pemuda itu. Tangan kanannya memegang tangan adiknya yang berumur 10 tahun itu.

Usai menunaikan solat Maghrib, mereka kembali ke kereta. Pemuda itu kelihatannya sudah selesai melakukan kerja membaiki tayar pancit.

“Dah siap solat? Saya pun sah siap tukar tayar ni,” pemuda itu menuturkan kata tanpa sempat Sumayyah bertanyakan apa-apa.

“Oh.. ye ke. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong kami adik-beradik. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” Sumayyah hanya mampu mengucapkan ayat itu sebagai tanda terima kasihnya kepada pemuda itu.

“Tak ada apa-apa pun. Ok. Hati-hati drive,” ucap pemuda itu ringkas beserta pesanan di hujung tuturnya.

Sumayyah berlalu pergi dari tempat dia berdiri dan menuju ke keretanya.

“Adik,” panggil pemuda itu.

Sumayyah berpaling.

“Anggaplah ini ujian daripada Allah. Kalau kita mengadu dan minta pertolongan padaNYA, insyaAllah, Dia akan permudahlan urusan kita,” kata pemuda itu sambil tersenyum.

Sumayyah senyum lagi. Afif pun begitu. Senyum lagi. Sumayyah duduk di tempat duduk pemandu. Diam. Untuk tempoh yang agak lama.

‘Ya Allah. Apa aku buat ni. Sepatutnya, bila aku ada masalah, aku mesti cari Allah dulu. Minta tolong dengan Allah. Bukan mengadu dan meraih simpati di facebook. Ampuni aku di atas kelalaianku ya Allah. Malunya aku denganMu,’ Sumayyah berfikir sendiri sambil meraup wajah.

Ada mutiara jernih mengalir dipipinya. Empangannya pecah. Kemudian, dia menghidupkan enjin keretanya, menuju ke destinasinya iaitu rumah mereka. Hatinya tenang.

‘Terima kasih ya Allah untuk ujian hari ini,’ desis hati kecilnya. untuk ke berapa kali, Sumayyah senyum lagi.






Monday 3 June 2013

untuk apa pekerjaanku ini?


‘Ustaz, saya ada satu soalan. Apa pandangan Ustaz jika ada yang  berpendapat bahawa pelajar yang bergiat aktif dalam bidang dakwah ini seringkali dikatakan selalu hantar assignment lambat, bila test ataupun kuiz, selalu dapat markah rendah. Bukankah golongan ini sendiri yang menjadi fitnah kepada dakwah itu?’

Terngiang-ngiang soalan itu di telinganya. Dia sendiri yang bertanya soalan itu. Namun, dia sendiri yang terasa akan pedasnya soalan itu.

“Haisshhh… Kenapa aku malas sangat ni? Final exam dah semakin dekat ni,” keluh Sumayyah sendirian sambil bangun daripada pembaringannya di atas katil empuk itu.

Buku di tangannya, di belek. Kemudian, dia baca. Kurang daripada satu muka surat, dia menutup kembali buku subjek Mikrobiologi itu.

“Ishhh… tak boleh jadi ni,” keluh Sumayyah lagi.

Lantas dicapai telefon bimbitnya di bahagian tepi bantalnya. Ditekannya nombor telefon insan yang dirinduinya. Insan itulah yang kerapkali memberinya semangat dan kekuatan. Hakikatnya, kekuatan itu adalah daripada Allah, namun insan itu hanyalah sebagai wasilah.

“Assalamualaikum, Sumayyah. Sumayyah sihat?” suara di hujung talian itu memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Sumayyah sihat je ibu. Ibu sihat? Abah dan adik-adik macam mana?” soal Sumayyah kembali setelah menjawab soalan ibunya.

“Alhamdulillah. Semua sihat,” balas ibunya lembut.

“Ibu, rindunya kat ibu dan family kita. Ibu. Sumayyah tak tau kenapa. Sumayyah rasa macam malas sangat belajar. Baca buku pun bila ada mood je. Buat assignment pun selalu last minute,” luah Sumayyah melepaskan segala rasa di hati. Sedih dengan diri sendiri barangkali.

Perbualan mereka terhenti seketika. Hanya diam yang menemani untuk beberapa detik.

“Sayang. Kadang-kadang rasa malas itu adalah ujian dariNya. Kita kena usaha untuk lawan rasa malas tu. Cuba Sumayyah ingat balik, apa tujuan Sumayyah belajar selama ni? Untuk apa anak ibu bersusah payah belajar sejak dari zaman tadika lagi? Sayang, Imam Syafie' pernah berkata, kalau kita malas menuntut ilmu, kita akan menanggung peritnya kebodohan sepanjang masa. Semuanya bergantung pada diri Sumayyah. Ibu tak nak cakap banyak sebab ibu tahu, anak ibu dah besar. Dah boleh kahwin dah. Cuma satu pesan ibu, kalaulah Sumayyah rasa malas sangat nak belajar, cuba Sumayyah niatkan dihati, belajar itu kerana Allah dan nak tolong Islam,” panjang lebar bicara Puan Azizah. Lembut suaranya. Beliau selalu berdoa agar Sumayyah yang berada nun jauh dimatanya sentiasa dipelihara oleh Allah.

Diam lagi.

“Ibu…” serak suara halus itu.

“Ibu, kenapalah Sumayyah tak fikir macam tu selama ni. Ya, Sumayyah akan cuba untuk ikhlaskan hati, belajar kerana Allah dan nak tolong agama kita. Ibu, terima kasih atas nasihat ibu,” ucap Sumayyah sambil menitiskan mutiara jernih di pipinya.

‘Ya. Belajar untuk Islam. Belajar untuk tolong agama Allah. Aku harus kuat!’

Sumayyah senyum sendirian usai perbualan dengan ibunya. Senyumannya itu penuh dengan sejuta makna.

____TAMAT____





Sunday 2 June 2013

pejuangkah AKU ini?


Di suatu sudut, berdiri seorang wanita sambil memerhati akan gelagat peserta-peserta “Kem Transformasi Diri”. Sekejap ke belakang. Sekejap dia mengatur semula langkahnya ke bahagian hadapan dewan.

“Masa tinggal lagi 15 minit,” ujar Umaira sambil memegang mikrofon. Lembut suaranya.

Di suatu sudut yang lain di bahagian tempat duduk peserta, kelihatan seorang perempuan memutar-mutar penanya dengan jari runcingnya. Kemudian, digaru kepalanya yang ditutup dengan tudung labuh berwarna ungu itu.

‘Berikan lima nama para sahabat yang berjihad untuk menegakkan agama Allah. Senaraikan ciri-ciri agama Islam.’

Diulang-ulang baca soalan itu di dalam hatinya. Namun, masih tidak ada jawapan yang mampu dicoretkan di atas kertas jawapan tersebut.

“Ya Allah. Apakah aku ini benar-benar pejuang yang berjuang di jalanMU? Apakah aku ini manusia yang hanya retorik semata-mata?” Sumayyah bermonolog. Terkilan barangkali.

Masa terus berlalu. Bahagian kertas jawapan Sumayyah kosong tanpa terisi dengan jawapan sepatutnya.

“Ok, masa sudah tamat. Letakkan pen. Berhenti menjawab. Faci akan mula mengutip kertas jawapan kamu,” suara Umairah bergema lagi di dewan itu.

‘Ya Allah. Apa yang aku buat ni? Nama para sahabat pun aku tak ingat. Ciri-ciri Islam aku ingat dua je. Macam mana aku nak berjuang ni kalau perkara asas pun aku tak tahu. Ya Allah, berilah aku kesempatan dan kekuatan untuk aku terus melangkah dalam pencarian ilmuMU yang maha luas. Malunya aku denganMU ya Allah,’ Sumayyah bersuara tetapi sekadar di dalam hati kecilnya.

___TAMAT___