Wednesday 12 June 2013

Di mana DIA di hatiku?


Kereta buatan Malaysia itu meluncur laju keluar dari persimpangan Nilai Utara. Jam di dashboard kereta menunjukkan pukul 6.15 petang. Lebuhraya PLUS menghala ke utara masih lancar perjalanannya. Cuma lebuhraya menghala ke selatan sahaja agak perlahan. Mungkin ada kemalangan di hadapan sana.

“Afif. Kenyang tak makan tadi?” soal Sumayyah kepada adik bongsunya itu.

“Kenyang je. Sedap la makanan kat restoran tu. Lain kali boleh kakak bawa Afif makan kat situ lagi,” gurau Afif sambil memandang kakaknya yang sedang memandu.

“Insya-Allah, boleh je. Tapi Afif kena la datang sini selalu,” balas Sumayyah sambil memandang cermin sisi keretanya.

“Alaaa.. tak datang sini selalu pun tak apa. Kakak belajar la masak. Nanti boleh masak kat rumah kalau kakak balik kampung,” sengih Afif.

Kereta itu semakin meluncur laju di lorong tengah jalan raya. Mungkin hamper 20 minit lagi mereka akan sampai ke destinasi yang dituju.

Tiba-tiba……

“Ehh… Benda apa tu kat tengah jalan?” soal Sumayyah terkejut sambil cuba mengelak daripada melanggar ‘benda’ yang dimaksudkan itu. Namun, gagal. Keretanya tetap melanggar ‘benda’ itu.

“Afif rasa macam bata. Warna orange. Bunyi langgar pun macam kuat je,” Afif menjawab.

Sumayyah meneruskan pemanduannya. Semakin lama semakin terasa berat stereng keretanya.

‘Ehh. Kenapa rasa lain je ni kereta ni,’ gumamnya dalam hati. Lantas, dia menukar keretanya ke lorong kiri lebuhraya.

“Afif. Kakak rasa macam tayar pancit je sebab rasa macam lain je stereng ni. Berat,” ucap Sumayyah stelah berdiam diri untuk beberapa ketika.

“Kalau macam tu, kakak berhenti je lah kat tepi jalan ni. Tak pun, berhenti je terus kat R&R tu,” cadabg Afif sambil menunjukkan R&R Nilai yang semakin dekat dengan mereka.

Kereta Proton Wira itu semakin perlahan menyusur ke bahagian tepi jalan raya melepasi kawasan R&R Nilai. Lalu, lampu kecemasan terus dipasang.

Hanya sepi yang menemani pasangan adik beradik itu.

‘Nak buat macam mana ni,’ si kakak bermonolog di dalam hati. Dikeluarkannya telefon bimbitnya.
Lantas, dia mendaftar masuk ke akaun facebooknya.

Kadang-kadang kita tak sedar, disebabkan sikap pentingkan diri atau kecuaian kita, orang lain telah teraniaya. Tayar keretaku pancit. Huhu. Sedih”. Lalu, ditekan butang ‘post’ selepas menaip status terbarunya. Status itu kelihatannya kecewa dengan insiden pelanggaran bata tadi. Sejurus selepas itu, dia menghubungi abahnya.

“Assalamualaikum , abah. Abah, tayar kereta kakak pancit la. Macam mana ya?” soal Sumayyah setelah panggilannya dijawab oleh abah.

“Laa.. ye ke. Kakak kat mana ni?” soalan Sumayyah dibalas dengan soalan juga.

“Kakak berhenti kat tepi highway ni. Lepas sikit dari R&R Nilai. Abah boleh datang tak?” sebak suaranya.

“Abah tak dapat pergi la sayang. Abah ada hal ni. Ok, macam ni. Nanti abah cari nombor PLUS dulu. Lepas tu, kakak cuba call ya,” jawapan diberi kepada soalan anak daranya itu. Suara itu kedengarnnya risau. Mana mungkin Encik Muhammad tidak risau. Sekarang sudah hampir senja tetapi anak-anaknya masih di tepi jalan tanpa arah tuju.

“Ok. Terima kasih abah. Nanti kakak call,” jawab Sumayyah perlahan.

“Macam mana kakak. Kita nak buat apa ni?” Afif bersuara setelah berdiam diri untuk beberapa ketika.

“Abah ada bagi nombor telefon PLUS. Abah suruh call sebab abah ada hal. Tak dapat datang,” jawab Sumayyah sambil menghubungi PLUS setelah abahnya menghantar nombor telefon tersebut melalu SMS.

“Ishhh. Lamanya iklan. Boleh ke tak ni PLUS ni? Time emergency pun sempat lagi nak beriklan lama-lama,” Sumayyah membebel. Tertekan mungkin. Ditambah pulak dengan rasa letih yang bertandang.

Setelah dicuba beberapa kali, barulah Sumayyah dapat bercakap dengan pekerja PLUS yang sedang bertugas ketika itu. Setelah memberitahu lokasi, nombor plat kereta dan masalah yang dihadapi, Sumayyah bersandar di tempat duduk keretanya itu. Menghela nafas panjang.

Lama juga mereka menunggu. Sehingga hampir masuk waktu Maghrib, datang sebuah kereta Toyota Vios putih, berhenti di belakang kereta mereka. Keluar seorang lelaki.

“Tayar pancit ke dik?” tanya pemuda yang berumur linkungan 30-an itu.

“Ya, tayar pancit,” ringkas jawapan Sumayyah.

“Ada tayar spare? Saya boleh tolong tukarkan,” pemuda itu menawarkan pertolongan.

Kaku tubuh Sumayyah berdiri di tepi keretanya. Tidak ada jawapan untuk soalan itu.

“Jangan risau. Saya memang nak tolong. Adik boleh ambik i/c saya,” ucap pemuda itu sambil mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Dihulurnya kad pengenalan miliknya kepada Sumayyah.

Diam. Sumayyah diam lagi untuk beberapa saat. Kemudian, dia kembali bersuara, “Ada. Saya ada tayar spare. Sekejap ye.”

Dibukanya boot kereta Proton Wira hijau itu.

“Dah masuk maghrib ni. Kalau adik nak solat dulu, boleh lah. Solat kat surau R&R tu,” pemuda itu menuding jarinya ke arah R&R Nilai.

“Ok,” ringkas lagi jawapan Sumayyah. Ditangan kirinya ada kad pengenalan pemuda itu. Tangan kanannya memegang tangan adiknya yang berumur 10 tahun itu.

Usai menunaikan solat Maghrib, mereka kembali ke kereta. Pemuda itu kelihatannya sudah selesai melakukan kerja membaiki tayar pancit.

“Dah siap solat? Saya pun sah siap tukar tayar ni,” pemuda itu menuturkan kata tanpa sempat Sumayyah bertanyakan apa-apa.

“Oh.. ye ke. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong kami adik-beradik. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” Sumayyah hanya mampu mengucapkan ayat itu sebagai tanda terima kasihnya kepada pemuda itu.

“Tak ada apa-apa pun. Ok. Hati-hati drive,” ucap pemuda itu ringkas beserta pesanan di hujung tuturnya.

Sumayyah berlalu pergi dari tempat dia berdiri dan menuju ke keretanya.

“Adik,” panggil pemuda itu.

Sumayyah berpaling.

“Anggaplah ini ujian daripada Allah. Kalau kita mengadu dan minta pertolongan padaNYA, insyaAllah, Dia akan permudahlan urusan kita,” kata pemuda itu sambil tersenyum.

Sumayyah senyum lagi. Afif pun begitu. Senyum lagi. Sumayyah duduk di tempat duduk pemandu. Diam. Untuk tempoh yang agak lama.

‘Ya Allah. Apa aku buat ni. Sepatutnya, bila aku ada masalah, aku mesti cari Allah dulu. Minta tolong dengan Allah. Bukan mengadu dan meraih simpati di facebook. Ampuni aku di atas kelalaianku ya Allah. Malunya aku denganMu,’ Sumayyah berfikir sendiri sambil meraup wajah.

Ada mutiara jernih mengalir dipipinya. Empangannya pecah. Kemudian, dia menghidupkan enjin keretanya, menuju ke destinasinya iaitu rumah mereka. Hatinya tenang.

‘Terima kasih ya Allah untuk ujian hari ini,’ desis hati kecilnya. untuk ke berapa kali, Sumayyah senyum lagi.






No comments:

Post a Comment