Thursday 11 July 2013

bukti cinta kita pada Kekasih


Kakinya semakin lenguh dirasakan dek berdiri terlalu lama. Lamakah? Lama baginya tapi mungkin sekejap bagi sahabat-sahabtnya  yang lain. Saat itu, hanya kedengaran bunyi kipas dan juga helaian kertas diselak.

“Siapa tokoh yang awak kagumi?” soal lelaki dihadapannya merangkap facilitator bagi Program ‘Ramadhan Datang Lagi’.

“Rasulullah SAW, Saiyidina Bilal bin Rabah dan juga Sultan Muhammad al-Fateh”, jawab Sumayyah tenang dan penuh yakin.

“Apa yang menybabkan awak kagum dengan Saiyidina Bilal bin Rabah?” soal facilitator itu lagi. Lagaknya seperti seorang polis sedang menyiasat seorang penjenayah.

“Saya kagum dengan beliau sebab cinta beliau pada Baginda yang sangat hebat. Ya Allah. Kalau saya, saya rasa tak mampu untuk mencintai Baginda sehebat itu,” Sumayyah memberi jawapan kepada soalan yang diajukan sambil tersenyum.

“Maksudnya awak kagum dengan Saiyidina Bilal sebab hebatnya cinta beliau pada Nabi Muhammad SAW?” lelaki yang tidak diketahui namanya itu seakan memberi penjelasan kepada jawapannya tadi tetapi dalam bentuk persoalan.

“Ya!” sekali lagi Sumayyah menjawab dengan yakin tanpa sekelumit pun rasa ragu.

“Berapa kali awak selawat pada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam sehari?” soal lelaki itu lagi sambil membetulkan duduknya diatas kerusi di bahagian hadapan dewan.

Gulp!

Terkedu Sumayyah dengan soalan tersebut. Lidahnya kelu seakan-akan beku di dalam peti ais yang bersuhu di bawah kosong darjah celcius!

“Aaaa… Aaaa… Tak konsisten. Saya selawat setiap kali selepas solat dan sebelum baca Al-Quran,” air muka Sumayyah seakan berubah saat menjawab soalan ‘cepu emas’ tersebut. Dirasakan begitu sukar untuk memberi jawapan kepada soalan killer tersebut. Lebih sukar lagi daripada soalan yang dijawab dalam final exam.

“Dah tu, awak cakap awak kagum dengan Saiyidina Bilal sebab kecintaan beliau pada Baginda yang sangat hebat?” kata-kata facilitator tersebut benar-benar memakan dirinya.

Air matanya berderai. Terasa seperti sedang menjadi seorang penipu. Penipu kepada dirinya sendiri,  juga penipu kepada Saiyidina Bilal bin Rabah dan lebih parah, menjadi penipu kepada Baginda Rasulullah SAW yang kononnya sangat dicintai oleh dirinya.

**************************

PENGAJARAN : Kita kata cinta pada Baginda. Kita kata kasih pada kekasih agung itu. Kita kata rindu untuk bertemu insan mulia itu tetapi nak berselawat pun malas! Itukah bukti cinta kita pada Rasulullah??

Monday 8 July 2013

salah siapa?


Suasana dalam Makmal Kimia itu semakin kelam kabut. Ada yang berlari ke sana. Ada yang berkejar-kejaran ke bahagian belakang makmal. Masa semakin suntuk. Tetapi masih ada kumpulan yang tidak dapat menyiapkan eksperimen dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Bagi kumpulan yang dapat menyiapkan eksperimen dalam tempoh yang ditetapkan, mereka dibenarkan untuk keluar dari makmal. Di suatu sudut sebuah meja, terdapat dua orang pelajar sedang bercakap-cakap. Sekejap, suara mereka perlahan. Sekejap, suara mereka bertukar menjadi keras.

“Aku nak balik dah ni. Aku ada janji dengan orang lain. Kau salin cepat sikit boleh tak?” soal gadis bertudung merah jambu itu seakan memaksa. Bagaikan tidak sabar. Farhana mengemas barang-barang miliknya.

“Kejap la. Aku tengah salin la ni,” jawab Syahira sambil menyalin data eksperimen dengan sepantas yang boleh.

“Kau ni. Aku nak balik sekarang. Nanti kau pass pada Izzati. Tak kira, aku nak, malam ni buku tu dah ada pada aku,” Farhana memberi kata putus dan terus berlalu.

Mengingatkan dirinya telah terlewat lima minit, Farhana membuka langkah seluasnya setelah keluar dari lif dan menuju ke kereta. Enjin kereta dihidupkan.

Beep..beep..beep..

Telefon bimbitnya berbunyi. Itu tandanya ada mesej yang diterima.

“Aku tak sangka. Orang lembut macam kau ni rupa-rupanya hati keras. Sabar sikit tak boleh ke??? Kalau macam ni la perangai kau, sampai bila pun kau tak akan berjaya,” mesej daripada Syahira dibaca dalam hatinya.

Tersentak! Sentap!

Ditatapnya mesej yang diterima baru sebentar tadi. Hatinya menjadi tidak keruan. Perasaannya bercampur baur saat itu. Geram. Sakit hati. Sedih. Terkejut.

“Sorry very much. Perang mulut bukan habit aku. Cuma satu peringatan dari aku, nak tegur salah silap orang, ada caranya. Baru orang rasional nak terima. Aku rasa kau lagi tahu daripada aku. Ye la, kau kan jadi AJK Unit Tarbiah untuk kelas la, fakulti la. Lagi satu, fikir banyak kali sikit kalau kau nak doa yang bukan-bukan kat orang lain. Takut doa tu kena kat kau sendiri je,” balas Farhana sambil mendengus kuat. Rasa puas barangkali. Puas sebab dapat melepaskan amarah di hati.

Farhana meneruskan pemanduannya. Fikirannya bercelaru. Air matanya bercucuran laju. Sedih dengan sikap manusia yang selama ini dipandang tinggi. Dipandang tinggi kerana ilmu agamanya. Dipandang tinggi kerana auratnya dijaga. Dihormati kerana manusia itu mementingkan penerapan nilai-nilai agama dalam diri sahabat-sahabantnya. Tetapi hari ini, hanya dalam sekelip mata sahaja segala rasa hormatnya pada Syahira lenyap begitu sahaja.

Perkataan “tarbiah” tak pernah lekang dari bibir Syahira setiap kali menyampaikan tazkirah ringkas sebelum kelas bermula. Namun, hari ini lain pula ceritanya. Lebih sudu dari kuahnya. Bicaranya padu tapi tindakannya kosong. Tiada makna walau sekelumit.

Beep..beep..beep..

Telefon bombitnya berbunyi lagi. Ditekannya butang ‘unlock’ untuk membaca mesej yang diterima.

“Orang macam kau ni, macam tu je cara nak tegur. Aku dah lama bersabar dengan kau. Nampak je lembut tapi mulut macam longkang. Kalau hati tu dah keras, orang tegur cara lembut pun, tetap kau tak boleh terima,” mesej dari Syahira bunyinya seakan-akan melepaskan dendam di hati. Bukan mahu menegur seikhlas hati.

Farhana menggengam telefon bombitnya erat. Meluahkan rasa yang tidak terluah pada manusia lain.

‘Aku kecewa dengan dia. Bercakap bagaikan bergegar dunia ini. Tapi, bila dengan aku, tak pula dia guna ilmu yang dia ada dengan sebaiknya. Harap pakai tudung labuh saja. Tapi bila bercakap, langsung tak dijaga perkataan yang keluar. Aku kecewa dengan golongan seperti ini,’ bungkam Farhana di dalam hati. Membulatkan tekadnya untuk sekadar mendengar ‘ceramah’ dari manusia seperti Syahira tetapi untuk menerimanya, tidak mungkin sama sekali.

*************************
PENGAJARAN : Sebagai seorang daei', perlulah difahami akan makna "hikmah" itu dengan baik. Jika tidak, mad'u akan lari meninggalkan kita dan lebih parah, mad'u lari meninggalkan Islam. Pada waktu itu, salah siapa? Salah daei' atau salah mad'u?