Thursday 6 February 2014

Bukan semua Ustazah itu Ustazah


Dear Ustazah,

Tahukah Ustazah bahawa institusi ke’ustazah’an itu rosak disebabkan sikap segelintir manusia yang bergelar ‘ustazah’ seperti Ustazah? Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga’. Ustazah sedarkah bahawa Ustazah telah menjadi ‘nila’ yang setitik itu?

Ustazah,

Kenapa ustazah begitu mudah sekali skeptikal dan berprasangka pada manusia lain? Apakah ustazah lupa bahawa Allah telah berpesan dalam firmanNYA,

“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)

Adakah menyalahi adat dan adab sekiranya ustazah menyiasat dahulu apa yang ustazah ‘dengar-dengar cerita’ itu?

Ustazah,

Kalaulah benar Ustazah mengaku bahawa Ustazah sedang menyampaikan dakwah, kenapa begitu keras dan kasar sekali nasihat dan dakwah yang disampaikan? Kenapa perlu Ustazah menegur seseorang mad’u itu di khalayak ramai? Apakah Ustazah menyangka bahawa mad’u itu mudah dan senang menerima dengan cara yang sebegitu? Apakah Ustazah fikir bahawa mereka tidak punya rasa malu? Apakah memalukan manusia lain di khalayak ramai itu datangnya daripada agama Islam?

Ustazah,

Apabila Ustazah melihat tentang kelemahan seseorang itu dalam mengamalkan agama, kenapa Ustazah lebih cenderung untuk mengumpat dan mengutuknya berbanding cuba untuk menyampaikan dakwah seperti yang Ustazah gembar-gemburkan kepada masyarakat tentang usaha dan kepentingan ‘dakwah’ itu? Ustazah seolah-olah memandang rendah pada mereka yang kurang mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan. Pelbagai tohmahan dan kata-kata keji yang Ustazah lemparkan pada mereka. Apakah Ustazah lupa bahawa kita ini manusia biasa yang lemah dan tak lepas dari ujianNYA? Apakah Ustazah menyangka dan begitu yakin yang Ustazah tidak akan diuji sehingga menjadi seperti mereka yang pernah Ustazah perlekehkan? Atau Ustazah begitu yakin yang tujuh keturunan Ustazah akan sempurna dan baik seperti malaikat, tidak ada cacat cela tanpa sebarang kesilapan dalam setiap gerak geri? Kerana itulah, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kita doa agar ditetapkan hati,

“Wahai TUHAN yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Ustazah,

Di sana sini, apabila disebut sahaja ‘ustaz-ustazah’ pasti mereka merasa hormat dan yang terbayang dalam minda mereka, golongan ustaz-ustazah ini adalah tempat rujukan mereka. Namun, dek kerana sikap ‘perasan baik’ seperti Ustazah inilah yang telah menyebabkan mereka memandang serong pada ustaz-ustazah yang lain sedangkan yang bersikap begitu hanyalah Ustazah seorang. Mereka menjadi jauh dengan Islam. Mereka memandang jelek pada golongan pendakwah yang sebenar. Mereka menjadi buta dan tuli dalam menilai agama. Apakah Ustazah tidak rasa bersalah?

Ustazah,

Janganlah menjadi ‘ustazah’ hanya kerana Ustazah adalah lepasan agama. Dan janganlah hanya bertopeng di sebalik gelaran ‘ustazah’ sedangkan diri yang sebenar tidak sebegitu. Janganlah menjadi ‘nila yang setitik’ itu. Jadilah ‘ustazah’ yang mempraktikkan ilmu agama yang telah Ustazah pelajari.

Semoga Ustazah terus thabat dalam menyebarkan dakwah kerana ALLAH dan sentiasa di bawah lembayung rahmatNYA.

No comments:

Post a Comment