Thursday 14 March 2013

aku sebuah kereta


Aku merupakan sebuah kereta keluaran Malaysia yang diberi nama Saga. Jadi, tentunya aku keluaran syarikat Proton Sdn. Bhd. Aku lahir pada tahun 1995. Kini usiaku mencecah hampir 18 tahun.

Suatu ketika dahulu, aku dibeli dan digunakan oleh seorang manusia yang bekerja sebagai ustazah. Orangnya sangat baik. Dia bijak menggunakan aku. Sehinggalah tahun 2011, aku telah bertukar tuan.

Tuan baruku ini merupakan seorang pelajar di sebuah universiti. Pada asalnya, dia membeliku untuk tujuan bisnes yang dijalankan olehnya secara part-time. Aku digunakan ke sana ke sini termasuklah ke kelasnya.


ini bukan diriku. ini kereta ferrari. tapi warna kami sama, merah.

Tuan baruku ini agak pemalas orangnya. Kebajikanku jarang dijaga olehnya. Masihku ingat detik itu. Aku tidak pernah di cuci olehnya sehinggalah suatu hari, diriku di’parking’ di suatu tempat di bawah pokok. Burung-burung yang hinggap di pokok tersebut telah melepaskan hajatnya ke atasku. Habis satu badanku dipenuhi dengan najis burung-burung tersebut. Disebabkan najis burung yang terlalu banyak di atas badanku, tuanku berasa sangat malu. Lalu, dia membawaku ke kedai cuci kereta. Setelah beberapa bulan menggunakan dirku, itulah kali pertama aku dicuci.

Masihku ingat ketika aku mula sampai ditempat belajarnya. Dia mengajak beberapa orang sahabatnya untuk pergi ke kelas dengan menggunakan diriku. aku sangat gembira dengan kebaikan hati tuanku. Tetapi, kegembiraan itu hanyalah untuk beberapa detik cuma bila mana tuanku berkata pada sahabat-sahabatnya,

“Jom gi kelas dengan aku nanti. Duit minyak nanti kita kongsi sama-sama”.

Aku jadi malu dengan tindakan tuanku ini. Dia ingin melakukan kebaikan tapi dalam masa yang sama dia sangat berkira soal duit. Ya, aku tahu, dia masih seorang pelajar dan tidak punya pendapatan tetap walaupan dia melakukan kerja part-time. Tetapi, tidakkah dia tahu, alangkah baiknnya jika dia berniat untuk menggunakan kereta tersebut kerana Allah tanpa berkira walaupun satu sen? Tidakkah dia tahu bahawa segala rezekinya telah ditulis oleh Allah sejak sebelum dirinya lahir ke dunia ini lagi? Jadi, untuk apa dia takut duitnya akan habis? Apakah dia hanya mengerti makna rezeki itu hanya pada duit?

Lama-kelamaan, bisnes yang dilakukan olehnya tidak begitu menjadi. Lantas dia mengambil keputusan untuk berhenti. Waktu itu, dirinya sedar bahawa tindakannya suatu ketika dahulu sewaktu mengajak sahabat-sahabatnya mengunakan aku itu adalah tidak benar. Jadi, dibulatkan hatinya untuk mengajak sahabat-sahabatnya untuk menggunakan aku tanpa mengambil satu sen pun. Dan dia sentiasa berdoa pada Allah agar dikurniakan hati yang sentiasa ikhlas dalam melakukan apa jua kebaikan.

Disebabkan dirinya yang tidak begitu kisah tentang bayaran duit minyak untukku, Allah tambahkan rezeki padanya. Ketika itu, barulah dia mengerti bahawa jika ikhlas dalam melakukan sesuatu, Allah akan tambahkan lagi rezeki untuk hamba-hambaNYA.


Namun, ikhlasnya itu tidak berpanjangan. Saat dirinya ditimpa ujian kekurangan duit, dirinya mula untuk berubah menjadi tidak ikhlas. Dia berasa berat andai ada sahabatnya meminta tolong dengannya untuk menghantar ke sesuatu tempat. Dia berasa dirinya seolah-olah dipergunakan andai sahabat-sahabatnya tidak menghulurkan duit minyak. Dia sedar bahawa dirinya tidak ikhlas. Dia cuba untuk berubah. Namun, dia gagal. Gagal dalam menempuh ujian kekurangan duit daripada Allah. Sekarang dirinya sedang diuji dengan penyakit hati tersebut. Aku menjadi kasihan pada tuanku. Kadang kala dirinya menangis disebabkan sikapnya yang tidak ikhlas dalam membantu sahabat-sahabatnya.  Aku juga turut kasihan padanya andai amalnya untuk membantu sahabat-sahabatnya itu menjadi sia-sia. Kudoakan moga tuanku diberi kekuatan untuk menempuh ujian kekurangan duit dan menjadi manusia yang ikhlas dalam melakukan apa jua kebaikan. 




Pesanku untuk tuanku yang dikasihi,

“Aku tahu, dirimu sedang diuji dengan kekurangan harta dan juga diuji dengan penyakit hati. Aku tahu, engkau sedih dan berasa lemah dengan kedua-dua ujian tersebut. Namun, apakah engkau lupa bahawa rezeki Allah itu bukan hanya pada duit semata-mata? Apakah engkau bimbang duitmu akan habis? Tidakkah engkau khuatir andai segala amalmu tidak diterima oleh Allah kerana tidak ikhlasnya hatimu dalam melakukan kebaikan? Apakah engaku sanggup menanggung azab api neraka dek kerana itu? Tuanku, buatlah kebaikan hanya kerana Allah. Nescaya, pasti datang pertolongan Allah yang lain. Dekatkanlah dirimu dengan Allah. Bergantunglah padaNYA dengan sebenar-benar pergantungan. Mintalah padaNYA agar diberi kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian. Sesungguhnya, ujian dari Allah itu engkau mampu menanggungnya. Jika tidak, masakan Allah berikan ujian itu pada dirimu? Salam sayang dariku, Saga.”

No comments:

Post a Comment