Monday, 18 November 2013

Universiti Kehidupan


“Wajib ke atas kita sebagai hambaNYA untuk menempuh ujian yang melanda dalam hidup ini”. (Pesan sahabat)

Kadang-kadang hati kita merintih dek kerana tidak mampu lagi bertahan dengan ujian yang datang bertandang. Kadang-kadang terasa seperti mahu undur semula ke dunia ‘kanak-kanak ribena’ dek kerana tidak mahu memikirkan segala masalah yang melanda. Kadang-kadang hati kita tidak tegar lagi untuk memaksa diri untuk sentiasa tersenyum di hadapan manusia lain.

Tidak lupa juga, kadang-kadang kita terlupa bahawa Allah telah menyebut di dalam firmanNYA bahawa setiap ujian yang diturunkan ke atas hambaNYA adalah bersesuain dengan tahap kemampuan individu tersebut. Kita akan lupa tentang itu anda tiada DIA di hati kita.

Mungkin pernah terdetik dalam hidup kita,

“Kenapalah aku ni selalu sangat diuji dengan masalah yang sama je. Masalah kawan. Masalah duit”.
Pernah sekali aku terbaca kata-kata sahabat yang di’post’ di facebook, katanya,

‘Andai kita sering diuji dengan masalah yang sama, ketahuilah bahawa sebenarnya kita masih tidak lepas ujian tersebut.’

Sebagai contoh yang ringkas, kita sering diuji dengan masalah yang timbul dalam hubungan persahabatan. Itu tandanya kita masih belum melepasi ujian tersebut dan sebagai ‘signal’ untul kita lebih banyak bermuhasabah diri. Kadang mungkin kita terlintas dalam hati,

“bukan salah aku pun”,

“kenapa aku pula yang kena minta maaf. Padahal dia yang mula dulu”.


Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah dan dikasihi Nabi sekalian, apabila kita terlalu sibuk mencari salah orang lain, kita tidak akan ada masa untuk menghitung salah kita sedangkan kita tahu bahawa setiap daripada kita sememangnya tidak sempurna. Banyak kelemahan. Jadi, untuk apa kita menyibukkan diri untuk mencari kelemahan dan keaiban manusia lain?

Sebagai contoh ringkas yang lain, kita selalu kekurangan wang. Tidak mampu untuk memiliki apa yang dimiliki oleh insan lain. Mahukan hidup yang senang. Mahu makan yang sedap-sedap di tempat yang mahal sedangkan kita tidak mampu. Kadang-kadang sehingga terpaksa mengikat perut untuk berhari-hari lamanya hanya kerana mahu memiliki apa yang dihajatkan.

“Money is not everything but everything needs money”.

Aku sendiri tidak pasti sejauh mana kebenaran kata-kata ini. Mungkin sesuai diaplikasikan dalam keadaan tertentu sahaja.

Ketahuilah bahawa sebenarnya masalah itu boleh dan mampu jadi batu loncatan kepada kita untuk berubah ke arah yang lebih baik. Cuma bergantung kepada diri kita untuk memilih mana yang terbaik. Perlu kita muhasabah diri tentang pengurusan kewangan yang kita amalkan selama ini. Mungkin kita terlalu boros sehingga tidak mampu menyimpan wang atau mungkin kita mampu menyimpan tetapi tidak bertahan lama.

Setiap ujian ada penyelesaiannya. Bagaimana kita melihat ujian yang singgah itu sangat penting. Kalau hanya sekadar berdoa namun tidak ada usaha untuk menyelesaikannya, mana mungkin ujian atau masalah tersebut dapat di’nyah’kan dari hidup kita. Satu perkara yang perlu kita tanam dan semat dalam hati kita sekukuhnya adalah bahawa, ‘Setiap apa yang Allah beri pada kita, bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada ‘sesuatu’ yang sedang menanti di hadapan. Allah tidak pernah sesakali menzalimi hambaNYA melainkan kita sendiri yang menzalimi diri. Selalulah kita bersangka baik dengan Allah.



Wednesday, 9 October 2013

BERUBAH ITU BUKAN MUDAH


Apabila di saat kita jadi baik, tak usahlah kita memandang mereka yang kurang baik daripada kita seolah-olah mereka ini tiada harapan untuk berubah dan lebih teruk lagi tak usahlah kita memandang mereka seolah-olah kita begitu yakin bahawa kita akan mmenjadi ahli syurgaNYA.




Kita ini siapa untuk menghukum segala tindak-tanduk yang dilakukan oleh manusia lain? Kita bukan pemegang "hidayah". Kita bukan jua pemegang hati-hati manusia lain. Kita ini hanya manusia biasa yang hidupnya bergantung sepenuhnya kepada Allah.

Kepada diriku dan sahabat-sahabat yang ingin dan sedang cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik, yakinlah dengan kuasaNYA. Hidup ini adalah pilihan. Seandainya baik pilihan kita, insya-Allah, baik jugalah kehidupan kita dan begitulah sebaliknya. Yang penting, usahlah kita berputus asa untuk cuba berubah ke arah yang lebih baik. Bukan menyerah sebelum berperang. Redha dan pasrah itu perlu diletakkan ditempat yang selayaknya.

"Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agamaMU".






Thursday, 11 July 2013

bukti cinta kita pada Kekasih


Kakinya semakin lenguh dirasakan dek berdiri terlalu lama. Lamakah? Lama baginya tapi mungkin sekejap bagi sahabat-sahabtnya  yang lain. Saat itu, hanya kedengaran bunyi kipas dan juga helaian kertas diselak.

“Siapa tokoh yang awak kagumi?” soal lelaki dihadapannya merangkap facilitator bagi Program ‘Ramadhan Datang Lagi’.

“Rasulullah SAW, Saiyidina Bilal bin Rabah dan juga Sultan Muhammad al-Fateh”, jawab Sumayyah tenang dan penuh yakin.

“Apa yang menybabkan awak kagum dengan Saiyidina Bilal bin Rabah?” soal facilitator itu lagi. Lagaknya seperti seorang polis sedang menyiasat seorang penjenayah.

“Saya kagum dengan beliau sebab cinta beliau pada Baginda yang sangat hebat. Ya Allah. Kalau saya, saya rasa tak mampu untuk mencintai Baginda sehebat itu,” Sumayyah memberi jawapan kepada soalan yang diajukan sambil tersenyum.

“Maksudnya awak kagum dengan Saiyidina Bilal sebab hebatnya cinta beliau pada Nabi Muhammad SAW?” lelaki yang tidak diketahui namanya itu seakan memberi penjelasan kepada jawapannya tadi tetapi dalam bentuk persoalan.

“Ya!” sekali lagi Sumayyah menjawab dengan yakin tanpa sekelumit pun rasa ragu.

“Berapa kali awak selawat pada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam sehari?” soal lelaki itu lagi sambil membetulkan duduknya diatas kerusi di bahagian hadapan dewan.

Gulp!

Terkedu Sumayyah dengan soalan tersebut. Lidahnya kelu seakan-akan beku di dalam peti ais yang bersuhu di bawah kosong darjah celcius!

“Aaaa… Aaaa… Tak konsisten. Saya selawat setiap kali selepas solat dan sebelum baca Al-Quran,” air muka Sumayyah seakan berubah saat menjawab soalan ‘cepu emas’ tersebut. Dirasakan begitu sukar untuk memberi jawapan kepada soalan killer tersebut. Lebih sukar lagi daripada soalan yang dijawab dalam final exam.

“Dah tu, awak cakap awak kagum dengan Saiyidina Bilal sebab kecintaan beliau pada Baginda yang sangat hebat?” kata-kata facilitator tersebut benar-benar memakan dirinya.

Air matanya berderai. Terasa seperti sedang menjadi seorang penipu. Penipu kepada dirinya sendiri,  juga penipu kepada Saiyidina Bilal bin Rabah dan lebih parah, menjadi penipu kepada Baginda Rasulullah SAW yang kononnya sangat dicintai oleh dirinya.

**************************

PENGAJARAN : Kita kata cinta pada Baginda. Kita kata kasih pada kekasih agung itu. Kita kata rindu untuk bertemu insan mulia itu tetapi nak berselawat pun malas! Itukah bukti cinta kita pada Rasulullah??