Wednesday 6 February 2013

Superb G (part 1)


Tengah malam itu, Amir Asyraf berseorangan di tepi tingkap biliknya. Teman sebiliknya menghilang entah ke mana, tidak pulang untuk tidur di bilik pada malam itu. Melihat bulan dan bintang yang sungguh indah.  Hatinya tenang seusai menunaikan amalan sunat sebagai hamba ALLAH tatkala manusia lain sedang lena diulit mimpi.

Sunyi dan sejuknya detik itu menggamit perasaan di jiwanya. Amir Asyraf seakan-akan teringat bait-bait kisah lama. Memori silam yang kelam menghiasi kehidupannya meniti perlahan-lahan di benak mindanya. Peristiwa lampau yang menjadikannya leka dan terlalu dibuai dengan dunia yang sementara ini.

**********************

Dalam kuliah Biologi ketika itu, seperti biasa, Amir Asyraf tidak memberi perhatian kepada pensyarah yang sedang mengajar di hadapan dewan kuliah. “Game” di tangannya itu jugalah yang membuatkan dirinya lebih teruja berbanding dengan belajar di dalam kelas. Bukan untuk subjek Biologi sahaja dia bertindak sedemikian. Ketika belajar subjek-subjek yang lain, dia tetap begitu. Begitu asyik dengan “game”nya.

Walaupun begitu, setiap kali ujian, dia adalah pelajar yang paling cemerlang. Mungkin dek kerana itulah pensyarah-pensyarahnya tidak mampu lagi untuk menegur tindakannya yang suka bermain “game” sewaktu kelas. Sejak dahulu lagi, hobinya cenderung kepada bermain “game”, tidak kisahlah “game” yang ada di internet ataupun “game” yang ada di padang seperti bola sepak. Jika di internet, sebut sahaja nama-nama “game” yang ada seperti Assasin Creed, Need for Speed, PES13  dan Collin Mcrae Dirt. Segala maklumat terkini tentang “game” semuanya ada dalam kepala si bijak Amir Asyraf.

Apabila ditanya tentang tabiatnya itu, kononnya, prinsipnya cuma satu, “kejayaan itu ibarat game. Macam mana kita berusaha untuk menang dalam game yang kita main tu, macam itulah kita kena usaha untuk berjaya”. Dia seorang yang ada prinsip tapi dia sendiri tidak berpegang kepada prinsip tersebut. Hari-hari yang dilaluinya sebagai seorang pelajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) sama sahaja seperti pelajar-pelajar lain. Bangun pagi, kemudian menghadiri kelas sehingga petang, malamnya menyiapkan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan akhirnya tidur. Tidak ada yang luar biasa yang dilakukan olehnya.
“bbrrrr..bbrrr..bbrrrrr”. Telefon bimbitnya bergetar beberapa kali.

1 message received. Lalu ditekannya butang “open”.

“hai sayang. Awak habis kelas pukul berapa hari ni? Jom lunch sama-sama hari ni.”

Mesej daripada Diana, teman wanitanya segera dibalas.

“hari ni saya kelas sampai pukul 2. Ok je kalau nak lunch. See you soon.”

Diana adalah teman wanitanya di KMPP sejak daripada semester pertama lagi. Dek kerana memiliki rupa paras ala-ala mat saleh, Amir Asyraf menjadi kegilaan ramai gadis di kolejnya. Mereka kerap bertemu walaupun tiada tujuan yang jelas.

Petang itu, setelah pulang dari kelas, Amir Asyraf seperti biasa, sambil duduk di meja belajarnya, dia meneruskan hobinya yang gemar bermain game.

“Amir. Jom join kitorang solat asar berjemaah”, ajak Luqman teman sebiliknya.

“Tak pe lah. Korang solat la dulu. Kejap lagi aku solat,” balas Amir Asyraf yang matanya sedang begitu asyik menatap skrin laptopnya.

“Alaaa.. kita solat kat bilik je pun. Bukannya kat masjid. Kalau masjid tu, ye la aku paham kau tak nak pergi,” tambah Firas yang juga ahli bilik tersebut.

“korang ni. Solat je la dulu. Nanti kang aku solat la. Nak habiskan “game” ni sikit je lagi,” ujar Amir Asyraf.

*************************

Peperiksaan akhir semester bagi semua kolej matrikulasi di Malaysia semakin hampir. Satu minggu diberi sebelum peperiksaan bermula sebagai minggu mengulang kaji. Semua pelajar sibuk mengulang kaji pelajaran masing-masing. Ada yang belajar secara berkumpulan, ada yang belajar seorang diri. Tak kurang juga pelajar yang mempunyai masa terluang, pasti mencari ruang untuk bersemuka dengan pensyarah.

Amir Asyraf seperti biasa mengulangkaji pelajaran bersama Diana, buah hatinya. Antara tempat yang menjadi pilihan mereka adalah seperti perpustakaan, bilik tutorial dan juga kafeteria. Azam mereka ingin menyambung ijazah di universiti yang sama  dan juga dalam kursus yang sama. Walaupun minggu tersebut adalah minggu ulang kaji, namun Amir Asyraf masih kekal utuh dengan hobinya. Tidak dapat berpisah lama. Sehinggakan sewaktu mengulangkaji bersama Diana, dia masih lagi dengan tabiat suka bermain “game” itu. Walaupun dinasihati oleh kawan-kawan lain termasuk kekasih hatinya, namun nasihat itu bagaikan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu itu tiba. Peperiksaan yang mengambil masa selama hampir dua minggu itu bermula dengan subjek Kimia dan berakhir dengan subjek Matematik. Masing-masing pulang ke kampung dengan rancangan yang tersendiri.

~~bersambung~~

No comments:

Post a Comment